Rakan tidak harus ambil ahli komponen

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan tidak harus mengambil ahli daripada parti komponen lain bagi mengelak perpecahan dalam gabungan itu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN)  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata mana-mana parti komponen Kerajaan Perpaduan pun tidak mahu situasi seperti itu berlaku.

“Sebaik-baiknya parti komponen Kerajaan Perpaduan tidak harus mengambil mana-mana ahli-ahli parti lain dalam komponen itu. Kalau berlaku sebaliknya, mereka tentu akan terasa hati. Jadi, eloklah kita menjaga perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) kali ke-4 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desas desus mendakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Zafrul Abdul Aziz  akan menyertai PKR tahun depan, untuk ditawarkan jawatan Menteri Besar.

Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin UMNO untuk menjaga integriti mereka dan mengelak daripada termakan tawaran yang bersifat berkepentingan individu.

“Mana-mana ahli dan pemimpin parti harus mengutamakan kepentingan parti sendiri bukan kepentingan peribadi. Apa pun agenda peribadi itu hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu supaya partinya diberikan keutamaan.

“Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli dan rakyat menilai integriti seseorang itu,” katanya.

Ditanya sama ada tawaran menyertai PKR ada dikongsi Tengku Zafrul kepadanya, Ahmad Zahid berkata, setakat ini beliau tidak menemuinya lagi dan tiada makluman daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkenaan perkembangan terbabit.

Terdahulu sebuah portal melaporkan rundingan dikatakan giat dilakukan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

Nnn

Related posts

Leave a Comment