UNICEF gesa buka semula sekolah

MANILA 16 Sept. – Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNICEF menggesa pembukaan semula sekolah secepat mungkin di negara-negara, yang jutaan pelajar masih tidak dibenarkan meneruskan pelajaran di bilik darjah.

Menurut laporan UNICEF hari ini, sekolah-sekolah di sekitar 17 negara masih ditutup sepenuhnya, manakala di lagi 39 negara, belum dibuka sepenuhnya, 18 bulan selepas pandemik Covid-19 berlaku.

Antara yang “hampir ditutup sepenuhnya” adalah sekolah-sekolah yang dihadiri oleh hampir 77 juta pelajar di Filipina, Bangladesh, Venezuela, Arab Saudi, Panama dan Kuwait.

Hampir sepertiga daripada jumlah itu berasal dari Filipina, yang sedang berdepan salah satu penularan terburuk Covid-19 di Asia dan sesi persekolahan baru bermula pada minggu ini.

Para pelajar daripada keenam-enam negara itu membentuk lebih separuh daripada 131 juta pelajar di seluruh dunia yang ketinggalan lebih tiga suku daripada sesi pembelajaran secara fizikal, menurut UNICEF.

“Krisis pendidikan masih ada dan dengan setiap hari berlalu di mana bilik-bilik darjah masih ditutup, keadaannya kian memburuk,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore.

Laporan itu menyatakan bahawa para guru harus diberi keutamaan bagi vaksin-vaksin Covid-19, selepas para kakitangan kesihatan dan mereka yang paling berisiko, demi melindungi mereka daripada penularan dalam masyarakat.

Para pelajar mungkin lebih selamat di rumah, namun ketersediaan komputer, telefon bimbit dan Internet serta mutu pendidikan yang tidak sama rata merupakan antara cabaran yang terus dihadapi.

Di Filipina, sesetengah kanak-kanak terpaksa memanjat bumbung untuk mendapatkan signal Internet.

Pada Jun, Presiden Filipina Rodrigo Duterte menolak usulan untuk membenarkan kelas-kelas secara fizikal disambung semula di beberapa kawasan, kerana tidak mahu mempertaruhkan kesihatan kanak-kanak ini.

Related posts

Leave a Comment