NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), meluluskan resolusi yang menggesa gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza dengan 158 undian menyokong, sembilan menolak, dan 13 berkecuali.
Tindakan simbolik itu bagaimanapun ditolak Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Resolusi itu menggesa gencatan senjata segera, tanpa syarat, dan kekal, serta pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan iaitu frasa yang sama dengan teks yang diveto Washington dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bulan lalu.
Ketika itu, Washington menggunakan kuasa vetonya di UNSC seperti sebelum ini bagi melindungi sekutunya, Israel, selepas peperangan dengan Palestin sejak 7 Oktober 2023.
AS menolak keputusan itu kerana menegaskan bahawa gencatan senjata harus bersyarat dengan pembebasan semua tebusan di Gaza.
Menurutnya, ini kerana jika ia dibuat dengan tanpa syarat, Hamas dikhuatiri tidak melaksanakan usaha membebaskan tebusan yang mereka yang ditawan.
Resolusi mengenai Gaza itu juga menggesa Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, untuk membentangkan cadangan kaedah bagi PBB dapat membantu meningkatkan tanggungjawab dengan menggunakan mekanisme sedia ada atau baharu berdasarkan pengalaman lalu.
Resolusi kedua yang diluluskan ialah supaya Israel menghormati mandat agensi PBB yang menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta membenarkan ia meneruskan operasi.
Ia diluluskan dengan undian 159 menyokong, sembilan menolak, dan 11 berkecuali.
Israel memutuskan untuk mengharamkan pertubuhan itu sejak 28 Januari lalu, selepas menuduh beberapa kakitangan UNRWA terbabit dalam serangan dahsyat oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu
Puluhan wakil negara anggota PBB menyampaikan sokongan mereka kepada rakyat Palestin sebelum proses undian berlangsung.
Duta Slovenia ke PBB, Samuel Zbogar, pula menyifatkan Gaza tiada lagi kerana sudah musnah sama sekali.
“Sejarah akan menjadi pengkritik paling keras terhadap ketidakpedulian kita sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, berkata Gaza hari ini tidak ubah seperti pusat simpati bagi Palestin.
“Imej kanak-kanak yang terbakar di khemah, tanpa makanan dan tanpa harapan atau masa depan, selepas menanggung penderitaan dan kehilangan lebih daripada setahun, seharusnya menghantui kita semua.
“Ini harus mendorong tindakan untuk menamatkan mimpi ngeri ini,” katanya semasa hari pertama perbahasan sesi khas perhimpunan mengenai isu berkenaan.
Nnn
