KUALA LUMPUR 12 Dis. – Tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) yang mewakili PKR, Amanah dan DAP hari ini tampil menegaskan bahawa Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan bagi tuntutan Batu Puteh pada 2018.
Dalam kenyataan bersama, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Anthony Loke yang merupakan anggota Kabibet ketika itu menegaskan, Dr Mahathir hanya memaklumkan kepada Kabinet selepas keputusan itu dibuat.
Ketiga-tiga mereka adalah anggota kabinet PH ketika itu di mana Wan Azizah adalah Timbalan Perdana Menteri, Mohamad sebagai Menteri Pertahanan manakala Loke menerajui Kementerian Pengangkutan.
“Ingin kami tegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Tun Dr Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan juga turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.
Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.
Ingin kami tekankan di sini, ianya hanyalah “pemakluman” di bawah agenda “Hal-hal lain” dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.
Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir,” kata kenyataan itu.
Kelmarin Dr Mahathir memaklumkan sedia berdepan sebarang siasatan jenayah susulan hasil Laporan RCI itu dengan mendakwa hasil laporan berkenaan adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang yang dipertanggungjawabkan.
Beliau juga sekali lagi menegaskan keputusan berhubung Batu Puteh dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.
Menurut tiga pemimpin kanan PH itu, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan sudah hilang apabila ia dibuat secara bertulis oleh Dr Mahathir.
“Sebagai negarawan, kami berpandangan Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkan di bahu mereka yang tidak terbabit.
“Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,” katanya.
Nnn
