Tanggungjawab bersama jemaah menteri

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri pada Mei 2018 tentang isu Pulau Batu Puteh adalah tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri, kata bekas Perdana Menteri  Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun perkara tersebut dibawa oleh Perdana Menteri Ke-7,  Dr Mahathir  dalam agenda hal-hal lain, ia tidak menghalang mana-mana anggota Jemaah Menteri untuk memberikan pandangan.

Muhyiddin yang juga anggota Kabinet ketika itu sebagai Menteri Dalam Negeri berkata, tidak timbul soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh Kabinet.

“Apabila Jemaah Menteri telah membuat keputusan mengenainya, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota Jemaah Menteri untuk menerima keputusan tersebut secara kolektif. Ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan bersama oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan,  Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mendakwa surat bertulis Dr Mahathir kepada peguam cara negara tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Muhyiddin berkata, tidak timbul soal Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab secara peribadi atas keputusan yang dibuat oleh Kabinet kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, soal pengkhianatan kepada negara juga tidak timbul.

Malah, ujar beliau adalah tidak wajar seorang bekas Perdana Menteri dihadapkan ke muka pengadilan semata-mata atas keputusan kerajaan yang disahkan oleh Kabinet semasa pentadbirannya dahulu.

“Jika ini berlaku, ia adalah satu duluan yang buruk  untuk negara,” katanya.

Pada 10 Disember lalu, Dr Mahathir berpandangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan seolah-olah mahu menunjukkan dirinya seorang sahaja yang bertanggungjawab.

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Nnn

Related posts

Leave a Comment