KUALA LUMPUR 10 Dis. – Isu kewujudan Titah Adendum menjadi panas apabila Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengemukakan soalan tambahan selepas Anwar Ibrahim menjawab soalan asal yang dikemukakannya.
Takiyuddin dalam soalan asalnya meminta penjelasan Perdana Menteri mengenai kewujudan Titah Adendum yang berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung permohonan pengampunan Najib Razak.
Anwar kemudiannya menjawab bahawa peraturan mesyuarat tidak membenarkan perbahasan isu itu susulan pengurusan kes di mahkamah dan ia perlu menunggu kes itu diputuskan pada 6 Januari tahun depan.
Bagaimanapun Anwar berkata, untuk rekod, beliau telah persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Najib, adalah munasabah untuk diberi pertimbangan.
“Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda (mesyuarat), saya masukkan sebab ia harus diberi pertimbangan,” katanya.
Takiyuddin kemudiannya bangun dan menarik perhatian keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong telah mengurangkan hukuman penjara sebanyak 50 peratus dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta ke atas Najib.
Menurutnya, setelah itu persoalan mengenai kewujudan adendum yang didakwa dikeluarkan pada April 2024 mula timbul dan menjadi tular di media sosial.
“Keputusan telah semua kita ketahui. Telah berlaku satu yang dipanggil dalam
undang-undang legal hukum. Ia tidak hapuskan. Ia hanya legal hukum tetapi apabila timbulnya satu isu adendum ataupun satu perintah titah tambahan yang dikatakan daripada Lembaga Pengampunan atau khususnya daripada Yang di-Pertuan Agong sendiri.
“Bermula daripada seawal bulan April tahun 2024, isu ni berbangkit berlegar di seluruh negara, di viral di seluruh media sosial.
Isunya Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan untuk mengiyakan atau untuk menidakkan perkara ini menyebabkan perkara ini menjadi satu isu dalam masyarakat.
“Saya boleh sebutkan apabila keluarnya isu ini Datuk Seri Najib perayu telah memasukkan satu kes di mahkamah tinggi meminta satu perintah mandamus untuk menentukan sama ada wujud atau tidak, adendum itu,” katanya.
Takiyuddin juga membangkitkan bahawa beberapa afidavit yang disokong oleh pemimpin politik ditolak oleh mahkamah.
“Yang Berhormat Bagan Datuk, sebagai wakil parti beliau, telah mengemukakan afidavit sokongan, begitu juga dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang yang turut menyertakan afidavit, serta Yang Berhormat Menteri MITI yang memohon untuk memasukkan afidavit tersebut.
“Kedua-dua afidavit, Bagan Datuk dan juga MB Pahang ditolak. Kononnya khabar angin. Menteri MITI tak dibenarkan memasukkan afidavit itu di peringkat mahkamah,” katanya.
Menurutnya, satu afidavit yang dikeluarkan oleh Muhammad Nizar Mohamad Najib, terdapat dakwaan mengenai kewujudan adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 Januari 2024, dan diserahkan kepada Peguam Negara.
Katanya, isu itu turut dimasukkan dalam rayuan yang akan dibicarakan pada 6 Januari 2025.
“Saya nak tanya ini adakah betul dan kenapa pihak kerajaan tidak bercakap benar mengenai kewujudan atau tidak adendum ini.
“Apakah ini bukan satu pendustaan dan penderhakaan kepada titah perintah Yang Dipertuan Agong dan ini juga terkandung dalam satu perkara yang dianggap dari segi undang-undang wrongful imprisonment kalau ianya ada melanggar peraturan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, rakyat Malaysia tuntut penjelasan yang jelas daripada anda,” katanya.
Nnnn
