KDN nafi data MyKad 17 juta rakyat bocor

JITRA 4 Dis. – Kerajaan memberi jaminan keselamatan data terutama MyKad terjamin dan sentiasa berada dalam keadaan selamat, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasition Ismail.

Justeru, kerajaan menafikan kebocoran data kad pengenalan atau MyKad milik 17 juta rakyat negara ini seperti didakwa di media sosial ketika ini.

Katanya , pemeriksaan rapi yang dilakukan agensi keselamatan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dakwaan itu mendapati ia tidak benar sama sekali.

“Dakwaan itu timbul dari seorang pengguna media sosial yang pamerkan beberapa keping Mykad, tapi dia dakwa 17 juta.

Saya segera semak dengan JPN dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) yang berfungsi sebagai pihak berkuasa keselamatan teknologi maklumat kerajaan dan kedua-duanya sahkan tiada insiden kebocoran dilaporkan.

Kita minta orang ramai berhati-hati apabila terima maklumat sebegini, mudah sekali untuk sebarkan dengan papar beberapa keping dan beritahu 17 juta, saya harap perkara ini dihentikan,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi dekat sini.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan kerajaan terbuka menubuhkan suruhanjaya bebas membabitkan agensi penguatkuasaan lain, bagi membolehkan aduan orang awam disalurkan secara cepat.

Beliau berkata, ketika ini hanya Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diwujudkan sejak Julai tahun lalu, berfungsi dalam menerima aduan awam berkaitan pasukan terbabit.de

“Mengenai Akta IPCC yang diluluskan pada 2022, ia khusus untuk polis, walaupun Perdana Menteri ada menyebut ketika menjadi Ketua Pembangkang, beliau berharap suruhanjaya itu bukan untuk polis sahaja, bahkan semua agensi penguat kuasa lain.

“Bercakap mengenai tatakelola dan integriti, ia harus meliputi semua agensi, namun keputusan ketika itu adalah dahulukan dengan IPCC dan pentadbiran ketika ini kita mula kuat kuasa 1 Julai 2023, makna perjawatan dan mula terima aduan bermula.

“Disebabkan itu, buat masa sekarang kita tumpukan dahulu kepada IPCC, ke depan nanti jika ada ruang untuk kita tambah baik dengan agensi lain kita boleh laksanakan kerana kerajaan sentiasa terbuka,” katanya.

Semalam, IPCC memaklumkan menerima sejumlah 529 aduan berkaitan isu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas lebih setahun Akta IPCC 2022 dikuatkuasakan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment