Dr Mastura kalah saman fitnah

TANJONG 4 Dis. – Dr Siti Mastura Muhammad diarah membayar RM825,000 kepada Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok selepas ketiga-tiga pemimpin DAP berkenaan memenangi saman fitnah ke atas Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Ini berikutan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan Dr Siti Mastura, yang didakwa mengaitkan veteran dan pemimpin DAP iaitu Kit Siang, Guan Eng serta  Kok mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.

Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon, dalam keputusan penghakiman penuh mendapati Siti Mastura bertindak dengan niat jahat, dan pembelaan terhadap beliau berdasarkan alasan komen adil adalah tidak dapat diterima.

Justeru, Siti Mastura diarah membayar sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM240,000) dan Teresa Kok (RM200,000), selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plantif sebagai kos.

“Saya berpuas hati bahawa kata-kata yang dipertikaikan secara biasa dan semula jadi itu cenderung mendedahkan plaintif kepada kebencian awam serta merendahkan mereka dalam anggapan anggota masyarakat yang berfikiran rasional secara amnyq.

Perlu diperhatikan bahawa plaintif dikaitkan dengan aktiviti jahat dalam bersekongkol dengan elemen komunis, justeru mendedahkan mereka kepada kebencian dan menghasut pendapat awam yang buruk.

“Ia melampaui kritikan politik biasa dan telah melintasi sempadan apabila kata-kata yang dipertikaikan itu menyerang watak dan nilai plaintif,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ketiga-tiga plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK) pada 4 November tahun lalu.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, mereka mendakwa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Mereka mendakwa defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif, iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, dan menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara dalam ceramah itu.

Chew Soon berkata, kata-kata yang dipertikaikan itu hanya bermaksud bahawa Kit Siang adalah sepupu kepada Chin Peng; kedua, beliau adalah sepupu kepada Kuan Yew; ketiga, Kit Siang dan Guan Eng adalah mempunyai hubungan anak dan bapa, manakala Teresa adalah sepupu kepada isteri Guan Eng.

Katanya, defendan telah membuat kenyataan provokatif, mengaitkan plaintif dengan parti politik yang dilarang, dan membuat sindiran tidak menyenangkan mengenai kaitan plaintif dengan komunisme.

Menurut Chew Soon, pergantungan terhadap buku yang disebut sebagai ‘Comms Barisan Nasional’, adalah tidak boleh diterima kerana ia kekal sebagai penerbitan yang tidak dapat disahkan kewujudannya.

Beliau berkata, pihak pembelaan juga gagal memanggil individu yang dikatakan sebagai pembuat buku terbabit untuk memberi keterangan, menyebabkan buku itu hanya dianggap sebagai dokumen ‘hearsay’ (khabar angin) dalam perbicaraan.

“Buku kempen itu tidak mempunyai kredibiliti dan tidak boleh dianggap sahih. Asalnya kekal misteri. Seorang pegawai tinggi dari UMNO tidak mengetahui mengenai buku kempen itu dan penerbitannya tidak dapat disahkan.

“Buku kempen itu tidak mempunyai ketepatan, tiada tahun penerbitan, penulis, penerbit, atau nombor ISBN/ISSN, dan tidak boleh dianggap boleh dipercayai.

Walaupun memegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan mempunyai pengetahuan mengenai amalan yang baik seperti yang digariskan dalam metodologi penyelidikan, defendan memilih untuk menyebarkan maklumat tidak berasas semata-mata berdasarkan buku kempen BN,” katanya.

Chew Soon berkata, Siti Mastura yang berada dalam Dewan Rakyat yang sama dengan Guan Eng dan Teresa, seharusnya boleh mendapatkan penjelasan terus daripada mereka sebelum membuat kenyataan sedemikian.

“Dengan mengelak daripada membuat pertanyaan untuk memastikan kebenaran, defendan gagal menyemak fakta dengan secukupnya mengenai kenyataannya.

“Walaupun kepentingan awam dalam perdebatan politik diiktiraf, ia tidak memberikan kebebasan mutlak untuk membuat kenyataan mengelirukan yang merosakkan reputasi orang lain,” katanya.

Berhubung jumlah ganti rugi, Chew Soon memutuskan untuk memberi ganti rugi tertinggi kepada Kit Siang sebanyak RM300,000, kerana beliau adalah ahli politik paling senior dalam kes itu, selain merupakan figura terkenal dan telah dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang di Pertuan Agong.

Prosiding itu turut dihadiri Sankara Narayanan Nair mewakili plaintif, manakala peguam, Yusfarizal Yusoff, mewakili Siti Mastura.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment