ATM ambil tindakan atasi kes buli

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan berikutan kes penganiayaan dalam kalangan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataannya berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen ke-14 UPNM semalam jelas menyatakan keprihatinan terhadap isu penganiayaan yang berlaku di universiti berkenaan.

Berikut kenyataan media berkenaan

1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius terhadap kes penganiayaan yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (KDYMM SPB YDPA) semasa Majlis Istiadat Konvokesyen ke-14 UPNM pada 3 Disember 2024, yang jelas menzahirkan keprihatinan terhadap isu tersebut. Titah Baginda jelas menunjukkan bahawa kes penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku sama sekali kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah boleh mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta ATM secara amnya.

2. Berlanjutan dari kes yang telah berlaku, ATM telah melaksanakan langkah-langkah berikut :

a. Siasatan Menyeluruh. ATM telah dan akan terus menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan universiti, bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam sebarang perlakuan penganiayaan dalam kalangan Pegawai Kadet.

b.  Tindakan Disiplin. Mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah dalam kes penganiayaan, termasuklah pemberhentian, penggantungan, atau hukuman lain yang selaras dengan peraturan dan etika ATM.

c.  Kerjasama dengan Pihak Berkuasa. ATM juga telah bekerjasama dengan PDRM dan agensi berwajib lain dalam menjalankan siasatan, khususnya jika terdapat elemen jenayah yang terlibat.

d.  Program Kesedaran. Selain tindakan disiplin, ATM turut mempergiatkan pelaksanaan program kesedaran, pendidikan dan kaunseling untuk mencegah insiden penganiayaan dalam kalangan Pegawai Kadet. Program ini merangkumi penerapan nilai-nilai moral dan etika ketenteraan yang tinggi.

e. Mekanisme Pemantauan. ALK telah menambah pemasangan 21 Closed-Circuit Television (CCTV) baharu di blok penginapan Pegawai Kadet, menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan sebanyak 38 unit, termasuk 17 CCTV sedia ada. Penambahan ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pemantauan dan memperkukuh tahap keselamatan.

f. Pengasingan Tempat Penginapan.  Penginapan Pegawai Kadet Tahun 1 kini ditempatkan di Bukit Putera, manakala Pegawai Kadet tahun lain ditempatkan di Blok Penginapan UPNM. Pengasingan lokasi penginapan ini bertujuan untuk mengurangkan interaksi fizikal antara Pegawai Kadet Senior dan Pegawai Kadet Tahun Satu.

3. Selain itu, tindakan yang sedang dilaksanakan oleh ALK adalah seperti berikut:

a. Pemantauan Pegawai Kadet. ALK sedang meningkatkan mekanisme pemantauan dengan mengasingkan tugas Pegawai Bertugas Pasukan yang kini hanya melaksanakan tugasan rutin pasukan. Penugasan Ketua Jurulatih Bertugas diwujudkan bagi memantau secara khusus Pegawai Kadet. Ketua Jurulatih Bertugas bersama lapan Jurulatih Bertugas harian melaksanakan rondaan dengan lebih kerap, terutamanya selepas jam 2300 bagi memastikan keselamatan dan disiplin Pegawai Kadet terpelihara.

b. Pengisian Perjawatan ALK. ALK telah memajukan permohonan bagi pengisian perjawatan, terutamanya untuk menambah bilangan Jurulatih. Penambahan ini bertujuan mengurangkan beban tugas sedia ada dan memastikan keberkesanan pemantauan yang lebih sistematik terhadap Pegawai Kadet.

4. Tindakan jangka masa panjang yang akan dilaksanakan oleh ATM adalah seperti berikut:

a.  Tindakan Tegas Terhadap Pelaku Penganiayaan. Selain tindakan disiplin tegas mengikut Akta Angkatan Tentera (AAT) 1972, segala keputusan berkaitan salah laku yang dibawa ke Lembaga Komandan akan diselaraskan dan dipersetujui bersama pihak UPNM selaras dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

b.  Pembangunan Budaya Positif. ATM akan meningkatkan usaha memperkukuh nilai-nilai positif dalam kalangan Pegawai Kadet, termasuk melalui kempen kesedaran tentang bahaya buli, pengukuhan jati diri, serta penerapan prinsip kesaksamaan dan hormat-menghormati.

c.  Pemantauan Berterusan. ATM akan membuat pengisian bagi memenuhi perjawatan di ALK terutamanya bagi jawatan Jurulatih. Selain itu, ATM akan memperuntukkan perbelanjaan untuk pemasangan CCTV di semua aras blok penginapan Pegawai Kadet.

d.  Jaminan Keselamatan dan Kesejahteraan Pelajar. ATM dan UPNM akan memastikan kesejahteraan dan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan. Langkah ini merangkumi penyediaan saluran bagi pelajar melaporkan sebarang gangguan atau ancaman, serta pemberian sokongan psikologi kepada mangsa penganiayaan.

e.  Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). ATM dan UPNM akan memperkukuh kerjasama dengan KPT dan badan-badan pendidikan lain bagi memastikan mutu dan standard etika yang tinggi terus dikekalkan dalam sistem latihan ketenteraan di institusi tersebut.

5. ATM akan terus konsisten dalam memastikan kejadian penganiayaan tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota, tetapi juga dengan menerapkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan serta kehidupan ketenteraan. Tanpa sebarang kompromi terhadap kekerasan atau penganiayaan, ATM komited untuk menegakkan perundangan dan melaksanakan langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah kejadian seperti ini daripada berulang pada masa hadapan, demi memelihara maruah institusi ketenteraan serta kesejahteraan semua pegawai dan anggota yang dilatih.

Related posts

Leave a Comment