ERL gantung perkhidmatan

KUALA LUMPUR 3 Jun. Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 serta bilangan pengguna terhad, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menggantung semua perkhidmatan trennya mulai esok, 4 Jun.

Tempoh penggantungan akan dibuat sehingga notis lanjut dikeluarkan.

ERL dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat susulan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat selain mengambil kira arahan terkini kerajaan berhubung langkah bekerja dari rumah serta sekatan perjalanan lebih ketat yang bermula 1 Jun.

“Bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan kepada semua pelanggannya sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut lebih setahun selepas penularan pertama COVID-19, hampir tidak ada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan tren tersebut adalah terhad.

Ini menyebabkan purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019 sebelum negara dilanda Covid-19 dan dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada Selasa, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Related posts

Leave a Comment