KUALA LUMPUR 4 Dis. – Dalam tempoh 13 hari, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan 274 iklan di platform Facebook yang menyamar sebagai individu daripada Jabatan Peguam Negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata perkara itu berpunca daripada penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang sangat melampau oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, adalah sangat penting untuk platform media sosial bertanggungjawab kerana kegagalan mengawal selia perkara seumpama itu akhirnya memberi kesan buruk kepada rakyat.
“Scammer ini membayar mereka untuk menipu warga Malaysia dan sebab itu, sangat penting untuk kita pastikan platform seperti ini dipertanggungjawabkan.
Mereka tidak boleh dibenarkan terima duit daripada scammer untuk menipu rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai langkah penguatkuasaan dan kawal selia yang sudah dan akan diambil kementerian untuk menghalang penyebaran kandungan lucah yang dihasilkan untuk tujuan komersil dan dipromosi di platform media sosial.
Dalam pada itu, Nie Ching memaklumkan kandungan lucah diturunkan MCMC juga meningkat iaitu daripada 186 kandungan pada 2022 kepada 1,125 kandungan bagi tempoh antara Januari hingga 1 Disember lalu.
“Bukan itu saja, kandungan berunsur pendedahan seksual kanak-kanak juga meningkat dalam tempoh sama, daripada 34 kepada 800 pada tahun ini.
“Sebab itu kita cadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang mana jika sesiapa didapati memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM1 juta atau kedua-duanya sekali.
“Jadi, kita harap Yang Berhormat boleh menyokong Rang Undang-Undang (RUU) ini,” katanya.
