122,062 murid belum kuasai 3M

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti seramai 122,062 murid atau 27.24 peratus yang belum menguasai kemahiran asas  membaca, menulis dan mengira (3M), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau memberitahu, penemuan itu berdasarkan saringan pengesanan awal literasi dan numerasi terhadap 448,113 murid Tahun Satu yang dilaksanakan KPM seawal tiga bulan selepas mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesi akademik 2024/2025.

Menurut Fadhlina,  murid berkenaan mengikuti Program Intervensi Tahun Satu Fasa Satu dan diberi bimbingan secara berfokus melalui pendekatan pengajaran yang lebih intensif dari Julai hingga September lalu.

“Berdasarkan analisis data yang berakhir pada 30 Oktober 2024, seramai 48,308 murid (39.58 peratus) berjaya menguasai kemahiran asas 3M.

Murid ini kembali mengikuti PdP di kelas biasa, manakala 73,754 murid (60.42 peratus) yang belum mencapai tahap penguasaan meneruskan intervensi untuk Fasa Dua untuk tempoh tiga bulan (Oktober sehingga Disember).

Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M selepas menjalani intervensi Fasa Dua, mereka akan dicalonkan untuk mengikuti intervensi dalam Program Pemulihan Khas yang dilaksanakan guru pemulihan apabila di Tahun Dua.

Program ini menyediakan bimbingan secara intensif untuk memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya hingga mampu mencapai tahap literasi dan numerasi yang diharapkan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai status semasa pelaksanaan Intervensi Kurikulum Murid Tahap Satu bagi menangani isu keciciran pembelajaran.

Fadhlina berkata, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita, yang diterajui Unit Pantau MADANI dan Yayasan Hasanah, bertujuan menangani isu keciciran pembelajaran, dengan fokus khusus kepada peningkatan tahap literasi dan numerasi dalam kalangan murid Tahun Dua hingga Enam.

Usaha itu membabitkan seramai 53,252 murid daripada 1,288 sekolah rendah di tujuh negeri, iaitu Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak, dengan RM100 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program itu pada tahun ini dan tambahan RM30 juta lagi bagi 2025.

“KPM komited dalam memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan terus dipantau dan diperbaiki dari semasa ke semasa demi kebaikan guru dan murid di seluruh negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment