Tiada calon SPM terjejas akibat banjir

PASIR MAS 2 Dis. – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir berjaya menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula hari ini, selepas operasi memindahkan mereka selesai sepenuhnya semalam.

Menteri Pendidikan , Fadhlina Sidek berkata semua calon termasuk yang terperangkap diselamatkan pelbagai agensi tanpa ada yang tercicir dan mereka kini ditempatkan di asrama dengan diberi kemudahan terbaik.

“Alhamdulillah semua calon SPM kita berjaya pindahkan ke tempat selamat iaitu ke asrama menerusi Op Payung dengan bantuan pelbagai agensi.

“Semua calon yang ditempatkan di asrama diberi kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer,” katanya selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas dan beberapa sekolah yang terjejas banjir di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan diatur gerak ke tiga negeri teruk terjejas banjir untuk membawa calon SPM ke asrama serta pusat peperiksaan, sejak kelmarin.

Beliau berkata, ia bagi memastikan calon di Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh berada di pusat peperiksaan terbabit pada waktu ditetapkan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata fasa pertama membabitkan pemindahan pelajar sudah selesai, manakala fasa kedua akan diberi tumpuan dari segi emosi pelajar berkenaan yang terjejas banjir.

“Kaunselor juga turut disediakan di asrama bagi pembugaran emosi pelajar,” katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan SPM 2024 yang bermula hari ini berjalan lancar di seluruh negara termasuk di beberapa negeri terjejas banjir.

Nnn

Related posts

Leave a Comment