Beli terus lebih murah berbanding rawat

KUALA LUMPUR 2 Dis. – Kos untuk Malaysia merawat sendiri air mentah adalah lebih tinggi, iaitu sekitar 1.80 sen bagi setiap meter padu berbanding sekiranya dibeli terus daripada Singapura, sekitar 11 sen bagi setiap meter padu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata,  ini menunjukkan ada timbal balik positif dalam Perjanjian Air Sungai Johor yang dimulakan pada 1962.

“Harga ditetapkan bagi membeli air terawat daripada Singapura adalah 50 sen bagi setiap 1,000 gelen. Dalam isu air terawat ini, dahulu kita janji beli lima juta gelen sehari (MGD), tetapi kita beli (ketika ini) sehingga 16 juta MGD.

Sebagai perbandingan, kos kalau kita rawat sendiri air, secara purata sekitar RM1.80 untuk setiap meter padu. Jadi, harga itu kalau kita rawat tukar daripada gelen ke meter padu, yang kita beli adalah sekitar 11 sen (bagi setiap meter padu),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin tahu apakah impak ekonomi didepani Malaysia susulan penjualan air mentah kepada Singapura pada kadar yang dianggap berbentuk ‘subsidi’ dan kesan jangka panjang terhadap sumber air di Johor.

Perjanjian Air Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada 2061, memberikan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia pula membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan ketika ini masih meneliti keperluan untuk mengkaji semula perjanjian terbabit mengambil kira kebergantungan yang tinggi Johor dalam membeli air terawat dari Singapura.

“Maka sebelum kita buat sebarang keputusan (untuk teliti semula perjanjian terbabit), terlebih dahulu perlu capai sifar kebergantungan (ke atas Singapura) terutama kemampuan untuk kita keluarkan air terawat di Johor.

“Ini (perlu dilaksanakan) sebelum menilai apa-apa hala tuju baharu,” katanya.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kesediaan mengkaji semula Perjanjian Air Sungai Johor yang akan berakhir pada 2061, beliau berkata kerajaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati bagi memastikan langkah diambil tidak membebankan rakyat.

Katanya, sebarang perubahan terhadap kadar sedia ada perlu mempertimbangkan implikasi terhadap kos pembelian air terawat daripada Singapura, yang menjadi keperluan kritikal bagi negeri Johor.

“Johor membeli air terawat daripada Singapura pada kadar RM0.50 setiap 1,000 gelen. Berdasarkan rekod Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Johor kini membeli purata 16 juta gelen sehari (MGD) air terawat, jauh melebihi kadar 5 juta MGD yang diperuntukkan dalam perjanjian.

“Ini menyebabkan kos tambahan sekitar RM180,000 setahun ditanggung oleh negeri Johor,” katanya.

Sehubungan itu, Akmal Nasrullah berkata bagi mengurangkan kebergantungan kepada Singapura, pelbagai projek ‘Zero Dependency’ sudah dirangka dan sedang dilaksanakan.

“Antara projek utama adalah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Johor (Sungai Lebak), pembinaan baraj di Sungai Sedili Besar, serta pembinaan loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air Layang 2 dan Loji Rawatan Air Semangar 3.

“Projek-projek ini bertujuan meningkatkan kapasiti simpanan air mentah dan terawat, sekaligus memastikan Johor mampu memenuhi keperluan air secara mandiri dalam jangka panjang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment