JOHOR BAHRU 8 Feb. – Kerajaan negeri Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan di masjid dan surau di negeri itu dengan jumlah jemaah 40 orang bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata jumlah itu tidak termasuk pegawai, ahli jawatankuasa dan pengurusan kariah masjid dan surau.
Beliau berkata keputusan itu diambil setelah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mendapat pandangan serta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Secara keseluruhan, terdapat 814 masjid di Johor dan bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat, kebenaran itu turut dilaksanakan di 216 surau di seluruh Johor.
Had umur pula 10 tahun ke atas termasuk warga emas asal syarat sihat tubuh badan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau turut bertanggungjawab dalam memastikan pekeliling dan garisan panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dipatuhi, antaranya memastikan jemaah mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan surau, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan penjarakan fizikal dipatuhi.
Tosrin berkata solat jenazah turut dibenarkan dengan kehadiran 40 orang jemaah tidak termasuk pegawai, ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.
Bagaimanapun, beliau berkata aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah takmir masjid dan surau serta ceramah ditangguhkan tetapi aktiviti kuliah dan ceramah secara dalam talian adalah digalakkan.
Program membudayakan al-Quran dan As sunnah, bacaan Yasin, tahlil,surah al-Mulk dan al-Kahfi dibolehkan.
Beliau berkata bagi pengurusan nikah, cerai dan rujuk pula pelaksanaannya adalah bersyarat seperti majlis akad nikah yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat JAINJ atau pejabat kadi daerah, namun digalakkan untuk ditangguhkan.
(Masjid Bukit Kangkar Muar)
