KUALA LUMPUR 27 Nov. – Lapan individu termasuk doktor memfailkan saman RM60 juta terhadap kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendakwa vaksinasi Covid-19 telah menyebabkan kematian dan komplikasi yang teruk.
Tuntutan saman sivil itu dikemukakan terhadap 25 defendan melalui tindakan saman berkumpulan difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu.
Antara plaintif, seorang doktor mewakili ibunya yang didakwa meninggal dunia kerana mengalami komplikasi selepas mengambil vaksin dos satu, selain seorang anak lelaki sulung sebagai waris bapanya yang didakwa meninggal dunia atas sebab sama.
Individu lain ialah lelaki yang isterinya didakwa meninggal dunia selepas mengambil dos satu dan dua vaksin, selain seorang pekerja pembersihan rumput yang mendakwa tidak pernah mengalami masalah kesihatan sebelum diarahkan majikannya dan kerajaan mengambil dos satu dan dos dua vaksin.
Antara 25 defendan ialah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob; Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, Pfizer Malaysia dan Sinovac Biotech Ltd.
Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Dr Adham Baba, selain Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
Plaintif mendakwa WHO dan Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik Covid-19 pada 11 Mac 2020 dan kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota, termasuk Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka membuat usul palsu dan mengelirukan mengenai wabak Covid-19,” menurut kumpulan itu sambil mendakwa wabak itu sebenarnya senjata biologi buatan manusia yang dicipta di makmal dan sengaja dibuat untuk menyerupai selesema bermusim.
Plaintif juga mendakwa, hanya vaksin eksperimen bertoksik disyor digunakan untuk menangani pandemik yang didakwa mereka sebagai palsu itu.
Menurut kumpulan itu, semua defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan COVID-19 dan keselamatan vaksin eksperimen bertoksik ini.
Mereka turut mendakwa, defendan pertama (D1) yang merujuk Muhyiddin, bukan sahaja menerima pandemik palsu tanpa penyiasatan dan pemeriksaan yang betul, tetapi juga melaksanakan PKP.
Defendan didakwa menggunakan pengaruh tidak adil, penipuan, salah pernyataan, penindasan fakta dan kekurangan pendedahan sepenuhnya untuk mendapatkan persetujuan orang ramai bagi apa yang mereka gambarkan sebagai vaksin eksperimen bertoksik.
Sebab itu, kumpulan terbabit mendakwa, rakyat Malaysia, termasuk mereka menandatangani borang persetujuan tanpa diberi maklumat yang sepenuhnya.
Justeru, plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa Covid-19 adalah palsu, pandemik senjata biologi buatan manusia yang dicipta untuk menyerupai selesema bermusim.
Mereka juga meminta deklarasi mahkamah untuk memaksa Malaysia menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) serta menuntut ganti rugi am, khas dan teladan.
Nnnn
