KUALA LUMPUR 26 Nov. – Sehingga September lalu, sebanyak 627,491 akaun direkodkan dengan tunggakan bil elektrik disenaraikan dalam proses pemotongan bekalan membabitkan nilai lebih RM1.008 bilion.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata angka itu meningkat berbanding 464,076 akaun yang dipotong membabitkan jumlah tunggakan lebih RM945.4 juta pada 2023.
Berdasarkan statistik ini, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu merekodkan jumlah akaun dan tunggakan tertinggi berbanding tahun lalu Selangor, Terengganu, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes pemotongan bekalan elektrik akibat kegagalan membayar bil utiliti dan jumlah tunggakan mengikut negeri serta kategori pengguna bagi 2023 hingga September lalu.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata, kekangan kewangan dikenal pasti antara kemungkinan berlaku kelewatan pembayaran bil elektrik dalam kalangan pengguna di negara ini.
Ia juga didorong kemungkinan sikap tidak bertanggungjawab dan sambil lewa dengan kebanyakan nama pengguna berdaftar bukan pemilik premis serta mengamalkan sikap membayar bil Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai transaksi terakhir.
Secara keseluruhannya, jumlah pengguna TNB adalah seramai 10.4 juta orang, melibatkan 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta pengguna bukan domestik.
Nnnn
