ARAU 25 Nov. – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada Bersatu digugurkan sebagai Exco manakala tiga ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Exco bagi penggal baharu.
Wan Zikri Afthar Ishak (PN Tambun Tulang) digugurkan sebagai Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Wilayah Ekonomi Baharu, Pemerkasaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif negeri.
Turut digugurkan, Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pengurusan Bencana, Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perpaduan, Megat Hashirat Hassan yang juga ADUN Pauh dan bekas pemangku Ketua Bersatu Bahagian Arau.
Wan Zikri, 37 yang juga Ahli Jawatankuasa Bersatu Arau sebelum ini menjadi antara dua ADUN yang dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 November tahun lalu menggantikan ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan.
Pada masa sama, terdapat beberapa perubahan portfolio dalam kalangan Exco yang kekal, yang mana beberapa penyusunan semula portfolio turut dilakukan kali ini.
Pelantikan Mohd Ridzuan, Abu Bakar dan Marzita dilaksanakan pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis bagi penggal baharu di Istana Arau, di sini, hari ini, yang dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Baginda dalam titahnya menggesa Exco yang dilantik dapat melipatgandakan usaha dalam mempercepatkan pembangunan negeri yang dilihat agak perlahan berbanding negeri lain.
“Exco yang ada pada waktu ini perlu bekerja lebih keras dalam membawa pembangunan negeri yang dilihat agak perlahan berbanding negeri lain,” titah baginda.
Majlis turut dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Rahimi Ismail.
