KUALA LUMPUR 14 Nov. – Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid yang sinonim dengan kartun Kampung Boy menerima Anugerah Seniman Negara kesembilan yang disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di sini malam tadi.
Penganugerahan itu adalah sempena Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 bagi menghargai penggiat seni tanah air yang memberi sumbangan besar dalam industri seni budaya negara.
Lat menerima wang tunai sebanyak RM60,000, watikah, trofi dan sepersalinan pakaian kebangsaan.
Beliau turut dianugerahkan status sebagai Seniman Tamu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta insentif untuk meneruskan karya seni dan layak menerima rawatan kelas pertama di hospital kerajaan.
ASN 2024 merupakan penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan mereka dalam kesenian negara dan di peringkat dunia.
Berangkat sama pada majlis itu Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim diiringi Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Pada majlis itu juga, penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin turut menerima Anugerah Khas Biduan Negara 2024 yang disampaikan Khairul Firdaus.
Siti Nurhaliza menerima wang tunai RM30,000, sepersalinan pakaian kebangsaan, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Sementara itu, lima pengiat seni tanah air menerima Anugerah Karyawan Seni iaitu Mokhzani Ismail bagi kategori Karyawan Seni Muzik; Zakaria Ariffin (Karyawan Seni Lakon/Pementasan); Wong Kit Yaw (Karyawan Seni Tari); Bangie Anak Embol (Karyawan Seni Kraf Tangan) dan Wong Hoy Cheong (Karyawan Seni Visual).
Masing-masing menerima wang tunai RM30,000, watikah dan trofi, kemudahan rawatan kelas pertama di hospital kerajaan serta status sebagai Seniman Tamu.
Anugerah Pendukung Seni pula diberikan kepada Radio Televisyen Malaysia bagi kategori media, Yayasan Hasanah bagi kategori korporat dan The Temple Of Fine Arts bagi kategori badan bukan kerajaan.
Penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM10,000, watikah dan trofi.
Sementara itu, Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata ASN 2024 selepas 15 tahun pelaksanaannya merupakan satu langkah dalam menzahirkan komitmen berterusan kerajaan menerusi MOTAC dalam memberikan pengiktirafan dan penghormatan kepada karyawan, seniman dan bakat tempatan.
“Pengiktirafan dan penghormatan kepada karyawan, seniman dan bakat tempatan ini kerana telah menzahirkan ketokohan, sumbangan dan kewibawaan cemerlang dalam memperkaya khazanah seni dan budaya negara,” katanya
Beliau berkata penggiat seni merupakan khazanah negara yang harus diangkat kerana mewakili warisan budaya Malaysia yang dihargai semua lapisan masyarakat.
“Justeru adalah wajar mereka diberikan pengiktirafan dan dihargai bukan sahaja kerana karya mereka tetapi komitmen yang diberikan yang tidak pernah luntur menghiasi industri negara,” katanya.
Sementara itu, Lat berharap anugerah yang diterimanya menjadi dorongan kepada generasi masa ini yang menceburi bidang seni visual.
Katanya, bidang seni lukis, kartun dan penulisan juga mustahak untuk negara.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk kerajaan yang mengiktiraf jasa dan sumbangan anak seni.
Lat yang berkecimpung selama 60 tahun dalam dunia kartun, mendapat pelbagai pengiktirafan dan gelaran antaranya Tokoh Warisan Orang Hidup, Ikon Budaya, Seniman Diraja Perak, Wira Budaya, Anak Malaysia dan Seniman Rakyat.
Sinonim dengan kartun Kampung Boy (1979) yang mencerminkan budaya bangsa serta kehidupan masyarakat di negara ini, karya itu menjadi karya agung beliau yang dikenali di peringkat antarabangsa dan menerima sambutan menggalakkan.
Nnnn
