WASHINGTON – Donald Trump dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, bertemu buat kali pertama di Rumah Putih sejak Trump memenangi pilihan raya Presiden AS pada minggu lalu.
Dalam perrtemuan itu, kedua-duanya berjanji untuk melaksanakan pemindahan kuasa yang lancar pada Januari tahun depan.
Menurut jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre. mereka duduk bersebelahan di Pejabat Oval dalam suasana tenang, walaupun mereka yang hadir berkata ketegangan ‘boleh dirasai’ sepanjang pertemuan kira-kira dua jam itu.
Bagaimanapun katanya, ia adalah pertemuan yang penuh makna di mana mereka membincangkan isu-isu keselamatan negara dan dasar domestik penting yang dihadapi oleh negara serta dunia.
Menurut penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Jake Sullivan, Biden menyatakan bahawa sokongan kepada Ukraine adalah demi kepentingan keselamatan AS kerana Eropah yang kuat dan stabil dapat mengelakkan AS dari terjerumus dalam peperangan.
Sementara itu, Trump berjanji untuk mengakhiri perang Russia-Ukraine dengan segera tanpa menjelaskan bagaimana beliau mahu melakukannya.
Trump memberitahu New York Post bahawa beliau dan Biden ‘berbincang secara mendalam mengenai Asia Barat’
“Saya ingin mengetahui pandangannya secara jujur dan telus mengenai keadaan sekarang dan dia memberikannya, dia sangat baik hati.
Kami berharap dapat melaksanakan, seperti yang kami katakan, pemindahan kuasa secara lancar, melakukan segala yang mampu untuk memastikan segala keperluan anda dipenuhi,” katanya.
Sementara itu Trump berkata politik adalah sukar dan dalam banyak kes, bukan dunia yang sangat menyenangkan.
“Bagaimanapun, hari ini adalah hari yang baik, dan saya sangat menghargai pemindahan kuasa sebegitu lancar, seperti yang dapat dicapai dan saya sangat menghargainya, Joe,” kata Trump.
Biden pula mengucapkan: “Selamat datang kembali” kepada Trump manakala Wanita Pertama, Jill Biden, turut serta menyambut ketibaan Trump.
Rumah Putih menyatakan bahawa beliau memberikan surat ucapan tahniah tulisan tangan kepada isteri Trump, Melania Trump, dan ‘menyatakan kesediaan pasukannya untuk membantu bakal Wanita pertama itu dalam proses pemindahan kuasa’.
Peralihan kuasa dijadualkan pada 20 Januari ini.
Nnn
