PRN : MCA, MIC tidak bertanding

KUALA LUMPUR 5 Julai – Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, bulan depan.

Dalam kenyataan berasingan, kedua-dua parti memberi alasan untuk memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung MCA,  Chong Sin Woon, berkata dalam tempoh ini, MCA selain akan menumpukan kepada persediaan menghadapi PRU16 akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

“Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA hari ini selepas perbincangan, analisis serta mengambil kira situasi politik semasa,” katanya.

Beliau berkata, MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen BN dalam membantu calon parti komponen BN pada PRN ini

“Ditegaskan bahawa MCA berpegang teguh kepada falsafah penubuhan parti kami, iaitu mana-mana keputusan yang diambil parti haruslah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesederhanaan, kebebasan dan demokrasi, di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” katanya.

Untuk rekod, Presiden MCA,  Wee Ka Siong sebelum ini berkata, parti itu sedang mempertimbangkan beberapa senario dalam enam PRN tahun ini, termasuk kemungkinan tidak meletakkan calon.

“Senario kedua, MCA perlu memperjuangkan bilangan kerusi minimum untuk bertanding, manakala senario ketiga parti itu tidak akan meletakan calon dan hanya akan berkempen untuk parti komponen BN.

“Sejak 2008 sehingga kini, kita mengalami banyak kekalahan berbanding kemenangan di enam negeri ini. Dalam keadaan inilah yang saya akan katakan MCA tidak mempunyai kuasa rundingan langsung sekali gus kita akan menghadapi proses rundingan yang sangat sukar,” katanya.

Manakala Pemuda MCA pula pernah mencadangkan kepemimpinan parti itu tidak meletakkan calon malahan menyarankan supaya tidak membantu mana-mana calon yang sombong selepas berkawan dengan DAP.

Sayap MCA itu dikatakan merujuk kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), UMNO,  Lokman Adam yang didakwa melabelkan parti komponen BN, MCA dan MIC kononnya sebagai ‘biawak hidup’.

Lokman didakwa berkata ini kerana dua parti itu tidak lagi mampu menyumbang kemenangan kepada BN.

“Selama ini MCA setia dan berpegang teguh kepada prinsip serta semangat Barisan Nasional (BN). Susah senang MCA tetap bersama BN, walaupun banyak parti komponen meninggalkan BN pada ketika BN berdepan waktu sukar.

“Kini dia sudah ada kawan baharu DAP, maka itu dia mendabik dada dan tidak perlukan MCA serta MIC yang digelar ‘biawak hidup’,” kata Setiausahanya, Daniel Wa.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC RT. Rajasekaran dalam kenyataan hari ini berkata keputusan tidak bertanding dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

“Keputusan tidak bertanding pada PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti MIC. Pada masa ini, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses untuk membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” katanya.

Bagaimanapun, parti itu berjanji akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen BN dan keputusan parti telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan.

Related posts

Leave a Comment