SHAH ALAM 10 Nov. – DAP Sabah diberi autonomi untuk membuat keputusan berhubung soal gabungan parti dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, kelonggaran diberikan kepada jawatankuasa DAP Sabah kerana mereka lebih memahami keadaan politik di negeri itu.
“Sudah tentu DAP Sabah lebih memahami, mereka berada dalam kerajaan negeri juga, dan baru semalam saya pergi Labuan, saya pun bersama dengan pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe.
Dia pun ada beri penerangan kepada saya berkenaan dengan dinamik dan juga perkembangan politik di Sabah,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Biasa DAP Selangor di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerjasama parti melibatkan PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi PRN17 Sabah akan datang.
Loke berkata, DAP Pusat turut menaruh kepercayaan kepada pimpinan baharu Sabah di bawah Jin Zie yang sudah tentu akan membuat keputusan apabila tiba masanya.
“Sudah tentu apabila sampai masanya kita kena buat keputusan tetapi masa untuk buat keputusan itu masih belum sampai, sampai masa nanti kita akan membuat keputusan,” katanya.
Sebelum ini, GRS menegaskan, mana-mana pihak yang ingin menjalin kerjasama dengan gabungan parti itu tidak perlu menunggu PRN17.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, sekiranya ada pihak yang mahu bekerjasama, ia perlulah dimulakan sekarang sebelum PRN17 dijangka tahun depan.
Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Nnn
