WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, tetap akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Brazil dan mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru, hujung bulan ini walaupun calon Republikan, Donald Trump menang dalam pilihan raya presiden.
Setiausaha Akhbarnya, Karine Jean-Pierre berkata, Biden merancang menghadiri dua persidangan itu dan lebih banyak maklumat akan dimaklumkan mengenai apa bakal dibincangkan dengan pemimpin asing di Rio de Janeiro dan Lima.
Sementara itu, Biden berkata rakyat Amerika berhak menerima “peralihan kuasa yang aman dan teratur” dan beliau telah berbincang dengan Trump untuk meyakinkan peralihan itu berjalan lancar.
Bagaimanapun Biden turut mengakui rasa kecewa yang dialami oleh ramai penyokong Demokrat berikutan kekalahan Naib Presiden Kamala Harris.
“Saya tahu bagi sesetengah orang, ini adalah masa kemenangan, itu perkara yang jelas. Bagi yang lain, ini masa kehilangan.
Kempen adalah persaingan visi yang berbeza. Negara memilih satu daripadanya. Kami menerima pilihan yang dibuat oleh negara. Saya sering katakan, anda tidak boleh mencintai negara anda hanya apabila anda menang,” katanya.
Beliau dalam kenyataan di Rose Garden tahu sekarang adalah masa yang sukar.
“Anda terluka. Saya mendengar anda dan saya melihat anda, tetapi jangan lupa, jangan lupakan semua yang telah kita capai.
Ini adalah kepresidenan yang bersejarah, bukan kerana saya presiden, tetapi kerana apa yang telah kita lakukan, apa yang anda lakukan, kepresidenan untuk semua rakyat Amerika,” katanya yang berbaki 74 hari penggalnya.
Biden berikrar untuk memastikan setiap hari yang berbaki dimanfaatkan sepenuhnya.
“Itulah tanggungjawab kami kepada rakyat Amerika. Kegagalan tidak dapat dielakkan, tetapi menyerah kalah tidak boleh dimaafkan,” katanya.
Trump memperoleh kemenangan besar menewaskan calon Demokrat, Kamala Harris, selepas pilihan raya pada 5 November lalu, melebihi 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk memenangi Rumah Putih.
Nnn
