PKR Sabah terbuka kerjasama PRN

KOTA KINABALU 6 Nov. – PKR Sabah terbuka untuk meneroka ruang kerjasama dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Madani bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) yang dijadualkan tahun depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN)  Mustapha Sakmud, berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan jawatankuasa rundingan kerusi PRN17 yang diutarakan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, baru-baru ini dalam usaha mengukuhkan kerjasama baik dan kestabilan politik sedia ada.

Beliau berkata, bagi tujuan yang sama juga, PKR Sabah bersama rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan tidak rasmi semalam, sebagai permulaan ke arah kerjasama menghadapi PRN17.

Katanya, perbincangan awal itu bagi meneliti titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung.

Dalam menghadapi PRN17, PH sudahpun membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan mengadakan beberapa siri mesyuarat.

“PH Sabah akan menyelesaikan dulu perbincangan serta rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata dalam proses rundingan nanti PKR menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil.

“Perbincangan perlu juga meliputi pembahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, kuota pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jawatan-jawatan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung dan komuniti.

“PKR juga ingin menegaskan bahawa prinsip asas kerjasama ini perlu didasari oleh pengurusan tata kelola yang baik dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Kelmarin, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan penubuhan jawatankuasa rundingan kerusi PRN17 yang diketuai Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun.

Jawatankuasa itu bagi membincangkan agihan kerusi di antara parti komponen GRS dan parti lain dalam kerajaan negeri sekarang, khususnya PH Plus, selain turut menyatakan keterbukaan perbincangan dengan parti lain termasuk BN.

Nnnn

(Foto fb Mustapha Sakmud

Related posts

Leave a Comment