SEPANG 6 Nov. – Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim mendakwa Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim mulai tercalar apabila mengulangi ‘kesilapan besar’ yang pernah dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Perdana Menteri keempat Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, kesilapan Dr Mahathir dari aspek pembangunan ekonomi nasional ialah apabila Perdana Menteri keempat itu terjebak dalam ketaksuban membina golongan kapitalis kroni.
“Nampaknya pentadbiran kerajaan PM kesepuluh Anwar Ibrahim yang baru berumur dua tahun sejak 24 November 2022 mulai terjebak juga dengan kesilapan membina kapitalis kroni,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya semalam.
Bagaimanapun menurut Hassan, bezanya Dr Mahathir membina kapitalis-kapitalis kroni kaum Melayu, Cina dan India dari kalangan rakyat biasa yang merupakan usahawan-usahawan baharu muncul yang berpotensi dan rapat dengannya.
Manakala dibawah Anwar mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni yang pada pandangan Hassan terdapat tiga jenis kapitalis kroni.
Golongan pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman Dr Mahathir yang semakin matang dan berpengalaman kini terus wujud mengelilingi dan menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri yang baru.
Mereka ini pemain-pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan.
Manakala golongan kedua kapitalis kroni di zaman Kerajaan Madani belum begitu meluas, belum begitu berani kerana gerak tindaknya sering diperhati dan mereka ini yang rapat dengan Perdana Menteri adalah pemain kecil, masih amatur.
Mereka ini baru muncul yang tidak ada ‘track record’ sebagai usahawan berjaya tetapi mendapat peluang dan ehsan dari kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan Perdana Menteri kesepuluh.
Bagaimanapun golongan ketiga kapitalis kroni di zaman Anwar agak luar biasa, tidak ramai tetapi amat menonjol, agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R.
“Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang undang-undang terdedah apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia memberi lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada syarikat telsco yang relatifnya pendatang baru tetapi 22.31 peratus saham ekuiti syarikat dikuasai institusi yang dilarang oleh Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
Imej Kerajaan Madani yang menjadikan perjuangan menegakkan tatakelola, urus tadbir kerajaan yang baik, telus dan amanah mulai tercalar dan dipersoalkan angkara muncul kembali amalan membina kapitalis kroni tetapi kali ini datangnya dari golongan mahakaya,” katanya.
Nnnn
