PRN17 Sabah uji kerjasama PH-BN

KUCHING 3 Nov – Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang dijadualkan tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, PRN17 Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya.

Beliau berkata, kerjasama PH dan BN menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dan sewajarnya diteruskan bagi menjamin kestabilan politik.

“Bagi meneruskan kerjasama itu PH dan BN, kita akan terjemahkannya dalam pilihan raya Sabah dahulu. Selepas itu, formula sama akan kita gunakan untuk bekerjasama dengan lain-lain parti gabungan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikan pada sidang media selepas menghadiri taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Yang turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak,Douglas Uggah Embas dan Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah,  Rubiah Wang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semalam yang mahu kerjasama di antara PH dan BN wajar diteruskan pada pilihan raya akan datang berikutan kestabilan politik yang dinikmati negara ketika ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, dalam situasi sekarang, sukar untuk mana-mana parti politik menguasai majoriti yang selesa dan Malaysia sejak dua tahun lalu dianggap sebagai antara negara paling stabil di rantau ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN juga tidak akan menutup pintu rundingan dengan gabungan lain untuk meneruskan kerjasama.

“Tetapi kita tidak akan membuka pintu terlalu luas, sebaliknya hanya akan mengadakan perundingan antara kepemimpinan semua parti gabungan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai logo yang akan digunakan gabungan PH dan BN pada pilihan raya akan datang, Ahmad Zahid berkata, persetujuan sudah dicapai untuk menggunakan logo masing-masing.

“Semua sudah mencapai persefahaman, tidak akan berlaku pertindihan di mana-mana kerusi ditandingi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebarang perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan ahli PH dan BH hanyalah pendirian individu, bukan mewakili parti.

“Selagi ketua parti gabungan tidak mengeluarkan kenyataan, itu bukan keputusan parti.

“Lain-lain (kenyataan ahli) adalah pendirian individu yang kita tidak jadikannya sebagai keputusan parti dan kita perlu selesaikan di peringkat parti masing-masing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment