MELAKA 3 Nov. – Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin mengekalkan jawatan sebagai Ketua Bersatu bahagian Masjid Tanah seleoas menang dengan majoriti besar dalam pertandingan satu lawan satu.
Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu memperoleh 150 undi berbanding pencabarnya, bekas Pengerusi Tetap bahagian itu, Rosni Sham Samion yang hanya mampu meraih empat undi.
Pada masa yang sama, penyandang Timbalan Ketua bahagian, Nazri Ramli mengekalkan jawatan apabila memperoleh 133 undi, manakala pencabarnya, Abdul Rashid Tang Abdullah tidak mendapat sebarang undi.
Bagi jawatan Naib Ketua pula dimenangi Roslan Jonet dengan 90 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya, Baharidin Saleh (lima undi), Muhammad Ali Hanafiah Jaamat (56 undi) dan Mohd Rozaimi Mhd Zaini (12 undi).
Sementara itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Tamby Chik berjaya mengisi jawatan Ketua Bersatu Bahagian Alor Gajah dalam saingan satu lawan satu, apabila memperoleh 105 undi, mengalahkan Mohd Zamri Abu Bakar yang mendapat 56 undi.
Jawatan timbalan ketua dimenangi Rozaini Salim yang menerima 92 undi manakala pencabarnya, Nazri Abu Kasim (68 undi), manakala naib ketua disandang Baharom Jamil yang mendapat 102 undi menewaskan Saifullizan Abu (59 undi).
Bagi pemilihan Bahagian Tangga Batu pula, hasrat bekas jurukamera sambilan TV3, Mohd Hanafiah Hamzah untuk mencabar jawatan yang disandang Ramlan Meon tidak kesampaian apabila tewas dengan majoriti 48 undi.
Beliau yang turut bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu sekadar meraih 26 undi manakala penyandang jawatan itu memperoleh 74 undi.
Bagi timbalan ketua pula, Hasrul Hassan menang tanpa bertanding bagi jawatan terbabit, manakala jawatan naib ketua pula menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof kecundang apabila hanya mendapat 27 undi sementara lawannya, Haizam Jaafar memperoleh 73 undi.
Di Hang Tuah Jaya pula menyaksikan penyandang jawatan ketua bahagian itu, Mohd Azruddin Md Idrus menang tanpa bertanding, manakala timbalan ketua pula diisi Jaffri Ibrahim yang mendapat 110 mengalahkan pencabarnya, Md Firdaus Mashor yang memperoleh 64 undi.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Dr Mohd Ruddin Abd Ghani tewas dalam percubaan merebut jawatan naib ketua bahagian berkenaan apabila sekadar memperoleh 29 undi berbanding pencabarnya, Ahmad Hezri Sardi (130 undi) dan Rozaini Kamis (16 undi).
Bekas ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee atau dikenali `YB Beliau’ kalah dalam pemilihan di peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian Hang Tuah Jaya apabila mendapat 97 undi, sekali gus menduduki tempat ke-11 berbanding hanya 10 jawatan berkenaan yang perlu diisi.
Dua jawatankuasa bahagian iaitu Jasin dan Kota Melaka digantung dan tidak boleh bersidang dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam.
Jasin menerima surat penggantungan itu bertarikh 14 Oktober manakala Kota Melaka pula pada 31 Oktober yang ditandatangani Setiausaha Agung Bersatu, Seri Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, dua antara 10 bahagian yang digantung di seluruh negara dibenarkan mengadakan persidangan dan pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada Disember ini.
Nnn
