“Seorang keluar, 10 menunggu”

MUAR 2 Nov. – “Bagi saya, parti ini mesti terus berjuang, pasal kalau hari ini ada seorang buat begitu (keluar parti) ada lagi 10 orang menunggu untuk ambil alih kepemimpinan,” begitu penegasan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keberadaan parti di seluruh negara khususnya di Johor mesti terus berjalan dan menasihatkan mereka yang berkenaan supaya tidak mengambil langkah terburu-buru sekiranya berlaku tidak berpuas hati.

Muhyiddin mengulas khabar angin seorang pemimpin bahagian di Johor dan pengikutnya mahu meninggalkan Bersatu, berdasarkan mesej kepada media menerusi WhatsApp yang memaklumkan pemimpin terbabit akan mengadakan sidang media untuk keluar parti selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan pemilihan kali ini.

“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan nama baik parti tetapi individu itu sendiri. Apa pun sebagaimana nasihat saya ketika majlis solidariti jelajah negara, saya memperingatkan sebaik mungkin apa isu atau masalah berbangkit sama ada di peringkat sayap, majlis tertinggi perlu dibawa kepada parti.

Kerana pasti ada JPP (Jawatankuasa Pengurusan Parti) yang akan meneliti perkara itu ataupun kepada Lembaga disiplin jika berkaitan disiplin.

“Kalau ia berkaitan disiplin semua dah sedia ada, cuma ia adalah soal teknikal dan bukan soal isu besar. Bila kita nak keluar dan sebagainya, saya fikir sebaik mungkin janganlah dilakukan namun kita berserah kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Pemilihan Perwakilan Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan partinya pernah mengambil tindakan segera terhadap Jawatankuasa Bahagian Bentong selepas pemimpin mereka mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

“Kita ada peraturan, jadi kita bentuk jawatankuasa baru, ramai yang bersedia nak ambil alih selepas adakan pemilihan semula,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment