PARIS 2 Nov.- Kes pembunuhan wartawan di seluruh dunia melonjak pada 2022 dan 2023 berbanding dua tahun sebelumnya, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO), Audrey Azoulay.
Katanya, hampir semua kes tidak berdepan hukuman.
Menurut laporan UNESCO,, berlaku lonjakan kes sebanyak 38 peratus iaitu 162 kematian membabitkan wartawan yang terbunuh ketika bekerja dan ia di tahap membimbangkan.
Pada 2022 dan 2023, seorang wartawan dibunuh setiap empat hari hanya kerana melaksanakan tugas penting untuk merungkai kebenaran,” kata Azoulay .
Beliau menggesa lebih banyak negara mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan penjenayah tidak terlepas daripada hukuman.
Jumlah kes pembunuhan tertinggi berlaku di Amerika Latin dan Caribbean, iaitu sebanyak 61 kematian dalam tempoh dua tahun, manakala rantau global yang mencatatkan jumlah kematian terendah ialah Amerika Utara dan Eropah Barat dengan enam kes.
Laporan itu turut mendedahkan, sekitar 2023, majoriti wartawan terbunuh di zon konflik iaitu 44 kes atau 59 peratus daripada jumlah keseluruhan tahun itu.
Sekitar 14 kes membabitkan wartawan wanita dan ia mewakili sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala sekurang-kurangnya lima kes membabitkan mangsa dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun.
Menurut maklum balas setiap negara kepada badan itu, kira-kira 85 peratus kes yang dikenal pasti UNESCO sejak 2006 masih tidak dapat diselesaikan atau diabaikan.
Bagaimanapun, daripada 75 negara yang dihubungi UNESCO bagi mendapatkan kemas kini berhubung kes kematian wartawan, 17 negara gagal memberikan sebarang maklum balas manakala sembilan lagi negara hanya memberikan pemakluman ringkas.
Malah dalam 210 kes di mana pembunuhan wartawan diselesaikan, purata kes mengambil masa sekitar empat tahun untuk diselesaikan.
“Keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan,” tulis penulis laporan itu.
UNESCO mengadakan kempen publisiti tahunan menentang pembebasan daripada hukuman berkaitan pembunuhan wartawan.
Tahun ini, UNESCO akan mengadakan persidangan, dijadualkan berlangsung 6 November depan mengenai keselamatan wartawan dan turut melaporkan krisis di ibu kota Ethiopia, Addis Ababa.
