Kaji paras ambang pendapatan T15

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kerajaan sedang mengkaji paras ambang pendapatan bagi golongan T15 daripada RM13,000 ketika ini kepada RM15,000 hingga RM20,000, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim,

Beliau memberitahu, perkara itu sedang dikaji selepas ada pandangan yang menyatakan jumlah yang ditetapkan Jabatan Perangkaan (DOSM) itu terlalu rendah.

Anwar berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai pentafsiran T15 yang dibuat secara individu, termasuk oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kerana masih tiada definisi jelas mengenainya.

Perdana Menteri berkata, tidak pernah ada kecelaruan dalam tafsiran bagi kategori itu.

“Saya dengar ucapan, baik oleh Menteri Ekonomi atau Kewangan. Kita kata, Jabatan Perangkaan sekarang menetapkan RM13,000,00 dan kita fikir agak rendah, dan apakah kita fikir naik (kuantum) T15 atau T20, itu sedang dibincangkan, ya.

“Jadi, tidak ada percanggahan sama sekali dan ini kita rujuk kepada Mesyuarat Jemaah Menteri, mengapa kita tetapkan T15 itu ditingkatkan jumlah pendapatan,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri berkata, perkara itu sedang dibincangkan.

Ia melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan jabatan berkaitan.

Katanya, langkah itu bagi menaikkan sedikit kuantum T15 supaya tidak membebankan dan pendapatan seisi keluarga tidak terikat dengan ambang sedia ada.

“Ada isu mengenai kedudukan T15, maka kita lepaskan tanggungjawab membayar (harga pasaran bagi petrol RON95) kepada B40, M40 dan bila dikaji, ada rangkaian daripada T20 ini di peringkat bawah.

“Itu mungkin pendapatannya agak sedikit rendah, maka dinaikkan. Ini bukan perkara baharu sebab dalam penyelarasan subsidi diesel digunakan prinsip yang sama,” katanya.

Perdana Menteri turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang dilihat menjadi ‘jaguh’ T15, sedangkan rakyat terbanyak iaitu 85 peratus tidak akan terkesan dengan penyasaran subsidi RON95.

“Jika dikatakan jangan bebankan dalam kalangan T15 yang pendapatan itu rendah, saya boleh terima dan itu yang menyebabkan kita membuat keputusan daripada T20 kepada T15.

“Bila kita pertahan T15, kita pertahan semua, orang dapat RM100,000 atau RM1 juta sebulan, ada. Jadi mengapa tidak ada pendirian untuk menyatakan ya, wajar kita kenakan bayaran semasa ikut pasaran kepada golongan maha kaya dan golongan teratas, itu pun tidak boleh,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment