SEPANG – Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 196 warganegara Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia pada tahun 2014.
Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan demikian menerusi kenyataan berasingan oleh kerajaan Belanda dan Australia, yang menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah keadilan serta pertanggungjawaban terhadap mangsa dan keluarga mereka.
Kes terhadap Rusia dibawa ke ICAO pada tahun 2022 oleh kerajaan Belanda dan Australia, yang sejak awal konsisten menuntut keadilan dalam tragedi MH17.
Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, mahkamah di Belanda telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh, walaupun ketiga-tiga tertuduh tidak hadir dalam perbicaraan.
Rusia ketika itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai “memalukan” dan enggan mengekstradisi warganya.
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp berkata, keputusan ICAO ini memberi mesej jelas bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.
“Keputusan ini adalah satu langkah penting dalam usaha mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi semua mangsa MH17 serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Belanda dan Australia akan terus mendesak agar Majlis ICAO mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan berkaitan pembayaran pampasan.
Menteri Luar Australia, Penny Wong turut mengalu-alukan keputusan itu sambil menggesa ICAO agar mempercepatkan proses menentukan bentuk ganti rugi yang sewajarnya.
“Kami menyeru Rusia supaya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan keganasan yang dahsyat ini dan memenuhi kewajipan antarabangsa untuk membayar pampasan,” tegas beliau.
Nnn