Perkasa nasihat Najib mengaku salah

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menerima permohonan maaf Najib Tun Razak yang membuat pengakuan berhubung kecurangan yang berlaku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Presidennya, Syed Hassan Syed Ali berkata, Perkasa sejak dari awal lagi percaya skandal 1MDB berpunca daripada kelemahan dan kecuaian Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana mudah diperdayakan oleh penyangak seperti Jho Low dan rakan-rakannya.

“Negara menjadi huruhara kerana skandal 1MDB. Banyak pihak juga terbabit kerana terpengaruh dengan Jho Low yang mereka percaya segala arahan Jho Low adalah kehendak Najib kerana hubungan yang sangat rapat penipu itu dengan Najib.

Pengakuan berkenaan derma USD681b yang Najib mengaku datang dari Kerabat Saudi sememangnya majoriti rakyat tidak percaya dan jelas hari ini, Najib mengakui ‘derma’ dari 1MDB.

Jika dari awal Najib mengaku kelemahan,  kesilapan dan kecuaian ini serta meletak jawatan segera sejak skandal 1MDB terdedah kerana rasa bertanggungjawab atas segalanya sebelum PRU14, pastinya parti-parti seperti Bersatu dan Putra tidak tertubuh dengan BN akan kekal berkuasa selepas PRU14(2018),”katanya dalam satu kenyataan.

Syed Hassan berkata, walaupun ‘nasi  sudah menjadi bubur,’ kesediaan Najib memohon maaf secara terbuka, mengaku kesilapan dan kecuaian atas skandal 1MDB, pihak Perkasa percaya ia pasti memberi kelegaan kepada banyak pihak.

“Perkasa menasihatkan Najib tidak perlu lagi membuang masa turun naik mahkamah, sebaiknya mengaku sahaja bersalah untuk semua pendakwaan dan menanti hukuman dijatuhkan dan hukuman boleh dijalankan serentak,” katanya.

Beliau berkata, selepas selesai, Najib boleh memberi fokus kepada pengampunan muklak dari Yang di-Pertuan Agong dan mohon mendapat sokongan dari Sultan Pahang sendiri untuk menjalani penahanan di rumah sehingga tempoh yang ditetapkan.

“Jika semua kes telah selesai segera dan dijatuhkan hukuman, Perkasa akan menjadi pihak di hadapan sekali merayu pengampunan untuk Najib bagi menjalankan hukuman tahanan di rumah.

Perkasa harap masyarakat menerima permohonan maaf DS Najib atas kesilapan dan kecuaiannya dalam skandal 1MDB,” katanya.

Menurut Syed Hassan, Perkasa tidak lupa banyak jasa Najib untuk negara dan rakyat di mana ekonomi negara melonjak naik dan rakyat menerima bantuan tidak putus sebelum tercetusnya skandal 1MDB sehingga BN kalah 2018.

“Perkasa doakan Najib sihat dan diampuni Allah SWT juga. Semoga dengan permohonan maaf Najib ini juga boleh membuatkan rakyat kembali bersatu, terutamanya orang Melayu dalam keadaan berpecah berpunca dari skandal 1MDB.

Sekali lagi Perkasa seru semua masyarakat tidak kira bangsa dan agama dapat memaafkan Najib,” katanya

Nnn

Related posts

Leave a Comment