Laporan perubatan jika diminta mahkamah

PUTRAJAYA 22 Sept. – Kementerian Kesihatan (KKM) hanya boleh mengemukakan laporan perubatan bekas Perdana Menteri,  Najib Razak kepada mahkamah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, langkah itu selari dengan pematuhan tata etika kerahsiaan pesakit yang mana sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah, sekiranya diarahkan berbuat demikian.

“Penyiasatan klinikal, perawatan dan pemantauan telah dijalankan oleh pihak KKM dan laporan perubatan akan dikemukakan kepada mahkamah (atas perintah mahkamah).

Namun pada masa sama, KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, tersebar di media sosial dakwaan mengatakan layanan istimewa diberikan terhadap Najib yang dirujuk dengan nama ‘Kod Merpati’.

Dakwaan itu antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib selain laporan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lalu dan Hospital Rehabilitasi Cheras semalam kerana masalah kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata, Najib dihantar ke HKL untuk mendapatkan rawatan perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu.

Jelasnya, ia berikutan keadaan kesihatannya tidak memuaskan dengan menegaskan tindakan itu selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Related posts

Leave a Comment