KUANTAN 24 Okt. – Waris Ganti Kedua Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sah bergelar suami kepada Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dengan sekali lafaz.
Istiadat Perkahwinan Diraja itu bermula pada pukul 8.30 malam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.
Berangkat pada istiadat itu termasuk Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta paduka-paduka anakanda.
Istiadat Akad Nikah dizahirkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjalankan upacara akad nikah dengan turut disaksikan kira-kira 110 jemputan khas kerabat bergelar, ahli keluarga dan teman rapat.
Usai akad nikah, Pengantin Putera Diraja dibawa keluar untuk menunaikan solat sunat sebelum pengantin perempuan dibawa masuk ke Balai Mahkota untuk bersama-sama Pengantin Putera Diraja bagi upacara penyerahan mas kahwin dan menyarung cincin oleh kedua-dua pengantin.
Istiadat ini kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa sebelum Istiadat Merenjis dimulakan oleh Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang, Tengku Mahkota Pahang serta kedua ibu bapa pengantin perempuan.
Istiadat Akad Nikah kemudiannya berakhir dengan keberangkatan Paduka Baginda berdua dan Tengku Mahkota Pahang ke majlis santapan diikuti semua jemputan.
Istiadat Perkahwinan Diraja akan diteruskan pada hari esok di mana akan diadakan Istiadat Berinai bagi pasangan pengantin Diraja ini manakala Istiadat Persandingan akan diadakan pada Ahad ini.
Pada 28 Oktober pula akan berlangsung Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram yang juga diadakan di Istana Abdulaziz sebelum Istiadat Menutup Kerja diadakan dengan acara menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam.
Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Bandar Diraja Pekan.
Beberapa acara seperti karnival jualan turut diadakan di kedua-dua lokasi iaitu sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung.
- Sumber KESULTANAN PAHANG

