Ketakutan selepas gelombang Omicron

GEORGE TOWN 12 Mac – Malaysia dijangka melepasi gelombang jangkitan varian Omicron Covid-19 menjelang penghujung Mac ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan tanda-tanda penurunan jangkitan ketika ini seperti trend penurunan di Britain dan Filipina selepas berada pada kemuncak penularan Omicron kira-kira sebulan dan dua bulan lalu.

Beliau berkata, berdasarkan pendekatan imuniti kelompok iaitu pemberian vaksin kepada rakyat ketika ini, pihaknya percaya jangkitan harian varian tersebut akan dapat dikurangkan.

Jelasnya, 99 peratus populasi dewasa sudah menerima vaksin Covid-19 manakala hampir tiga juta penduduk pula telah sembuh daripada jangkitan tersebut.

“Cuma ketakutan kita sekarang adalah sekiranya terdapat varian Covid-19 baharu yang lebih berbahaya, mudah tersebar dan kebal terhadap vaksin.

“Jadi, kita perlu bersedia (jangkitan kes), tetapi untuk waktu ini, kita tahu varian varian Omicron memberi tindak balas terhadap vaksin yang kita berikan… ini sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau berharap dengan pendekatan imunisasi kelompok yang diambil kerajaan iaitu dengan pemberian vaksinasi, varian Omicron ini dapat dikawal dan kes jangkitan terus menurun sama seperti yang ditunjukkan di negara-negara lain.

Dr. Noor Hisham berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Mendepani Cabaran Omicron; Adakah Malaysia Bersedia’ anjuran Penang Institute di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, meskipun negara sedang menuju fasa endemik, wabak Covid-19 masih disifatkan ancaman terhadap mereka yang tidak mendapatkan vaksin.

“Ia berikutan data-data seperti kadar jangkitan,kemasukan ke hospital, rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kematian dan sebagainya jauh lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mendapatkan vaksin,” katanya.

Related posts

Leave a Comment