Semua 5 mangsa perahu karam ditemukan

KUCHING 20 Okt . – Semua lima mangsa perahu lumba yang karam Jumaat lalu ditemukan lemas, di muara Sungai Sarawak, pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dua mayat ditemukan anggota JBPM berdekatan Baraj Sungai Sarawak pada pukul 6.16 pagi.

“Mangsa ketiga juga ditemui di muara Sungai Sarawak pada jam 6.40 pagi, diikuti penemuan mangsa keempat oleh anggota Sarawak Coastguard  7.07 pagi manakala mangsa terakhir dikesan menerusi dron polis pada jam 7.09 pagi,” katanya.

Lima mangsa terbabit ialah Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26 dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23.

Semua mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Mangsa adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.

Ketika kejadian kira-kira pukul 3.40 petang Jumaat lalu, mereka bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November ini.

Perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan yang datang dari arah bertentangan.

(Foto JBPM Sarawak)

Related posts

Leave a Comment