KUALA LUMPUR 5 Dis. – Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim diarah keluar Dewan Rakyat hari ini serta digantung 10 hari kerana mengeluarkan dakwaan negatif terhadap Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai lalu.
Tindakan itu diambil susulan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Pas itu tidak menarik balik atau membuat permohonan maaf susulan tindakan terbabit.
Johari berkata, beliau sudah mengemukakan surat kepada Awang pada 22 Julai lalu supaya menarik balik ucapan berkenaan dan membuat permohonan maaf, tetapi sehingga hari ini belum ada tindakan.
“Tindakan Pendang adalah menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih dan diamanahkan menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan Dewan Rakyat.
Memandangkan YB tidak menarik balik dan memohon maaf kepada saya sebagai speaker, maka saya perintahkan YB keluar dari dewan ini untuk tempoh 10 hari berdasarkan peraturan 44 (2),” katanya.
Selain menghantar surat, Johari menjelaskan, beliau turut mengambil langkah lain melalui Setiausaha Dewan Rakyat dan Ketua Whip Pembangkang supaya Awang tampil memperbetulkan dakwaannya, namun ia tidak diendahkan.
“Saya nak baca perkataan demi perkataan, apa yang Pendang katakan di luar (menerusi TikTok),” katanya.
“Kezaliman telah berlaku dalam Parlimen. Parlimen sekarang dikuasai Tan Sri Speaker yang melakukan kezaliman bermula dengan Pendang kemudian Machang dan seterusnya (akan terus berlaku ) jika tidak dihalang daripada sekarang”.
Menurut Johari, ketika Awang diarahkan keluar Dewan Rakyat, ia adalah arahan Timbalan Speaker.
“Yang kaitkan dengan saya kenapa? Sebab itu, saya minta supaya minta maaf, tapi dia tak buat sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Awang sebelum beredar keluar Dewan, meminta ruang kepada Johari untuk bercakap.
“Saya nak ucapkan terima kasih sebelum keluar, saya terima (keputusan Speaker),” katanya ringkas.
Keputusan Johari mencetuskan sedikit kekecohan lebih 10 minit dalam Dewan Rakyat selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang membuat bantahan.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan isu pertembungan kepentingan, mengambil kira seolah-olah Johari ‘menghakimi’ isu berkaitan dirinya sendiri.
“Seorang hakim tidak boleh menghakimi dirinya sendiri, ini membabitkan conflict of interest. Bagi menjaga integriti sebagai speaker yang dianggap seorang hakim (dalam Parlimen), tak sepatutnya Tan Sri (Johari) mengendalikan kes (berkaitan diri sendiri).
Saya tak halang (keputusan gantung Awang), tetapi biarlah ia dilakukan timbalan speaker,” katanya.
Perkara sama turut dibangkitkan Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta keputusan itu dipertimbangkan semula.
“Saya duduk (kerusi timbalan speaker) selama 10 tahun. Ada beberapa Ahli Parlimen sebelum ini yang dirujuk dan digantung enam bulan. Apabila kes Ahli Parlimen yang membabitkan speaker, lazimnya konvensyen dibuat di dewan dengan dipengerusikan timbalan pengerusi.
“Apa lagi bagi kes yang berlaku di luar Dewan, menerusi TikTok, ia sepatutnya perlu kepada penyiasatan. Jadi bagi saya, ia mesti (dibuat) berasaskan fakta dan prosedur yang betul,” katanya.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan Johari merujuk Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Awang sebelum ini memohon maaf dan menarik balik kenyataannya di Dewan Rakyat pada 4 November berhubung dakwaan wang tunai RM94 juta dijumpai di kediaman seorang bekas menteri DAP, sambil mengakui ada sedikit kekhilafan dalam kenyataan itu.
Nnn
