KUALA LUMPUR 15 Okt . – Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata, jumlah tahanan membabitkan 415 ahli GISB Holdings (GISBH) memaksa sebahagiannya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Beliau menjelaskan penahanan itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan terhadap kes yang dianggap kompleks, mengandungi beberapa elemen jenayah termasuk eksploitasi, pemerdagangan serta pengubahan wang haram.
“Saiz tangkapan begitu ramai. Kita akan minta reman. Mahkamah bagi (tempoh reman) tujuh hari, tapi kita belum selesaikan (siasatan) lagi. Sebab kita mahu libatkan 12 akta (seksyen siasatan). Kita minta tambahan, mahkamah bagi tujuh (hari) lagi, ada bagi lima, ada bagi tiga.
“Tak sempat habis (siasat) kerana jumlahnya ramai. Kerana itu, bila kita lihat ada elemen yang dilakukan secara berkumpulan, kemudian melibatkan jenayah dianggap serius. Kalau pemerdagagan orang itu… seriuslah.
Kemudian ada memberikan keuntungan material, kewangan, kuasa atau pengaruh, jadi ianya sesuai untuk kita gunakan Seksyen 130V Kanun Keseksaan bagi membolehkan selepas tamat tempoh reman, kita gunakan SOSMA,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika menggulung pada sesi Penerangan Menteri mengenai Perkembangan dan Tindakan di Peringkat Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, pada sesi perbahasan itu, dua Ahli Parlimen mewakili PH dan PN membantah tindakan PDRM menahan beberapa ahli GISBH di bawah SOSMA.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli GISBH akan ditahan selepas ini, sementara terdapat 15 kertas siasatan sudah dibenar untuk pertuduhan di mahkamah.
Saifuddin juga menegaskan, sejak hari pertama, siasatan ke atas kumpulan berkenaan dilakukan secara adil dan berteraskan prinsip undang-undang berdasarkan kepada akta sedia ada.
“Kalau siasatan itu kita buat di bawah AMLA (jenayah pengubahan wang haram), kita buat ‘money trail’.
“‘Source of revenue’ GISBH ini dia ada beberapa kluster. Maknanya, komitmen setiap kluster itu dia mesti mencapai kutipan harian dan kutipan harian itu bila diperolehi, mesti dimasukkan dalam akaun individu dalam pimpinan yang duduk dalam struktur ahli lembaga pengarah.
“Jadi dia ada zon Kuala Lumpur, zon tengah, utara, zon dalam dan luar negara. Dia ada sasaran kutipan bagi setiap zon yang membawa anggaran RM70,000 kutipan minimum kena ada. Duit ini dia bukan masuk dalam akaun GISBH yang didaftarkan dan ada akaun syarikat, tapi ke akaun individu,” katanya.
Beliau berkata, menerusi siasatan ke atas transaksi kewangan GISBH ini, pihak berkuasa berjaya menjejaki ke mana wang mereka mengalir termasuk sebahagian untuk pembelian aset secara tunai dan dipindah ke luar negara.
“Negara (luar) itu ada undang-undangnya. Sebab itu kita akan libatkan ‘mutual legal assistant’ dan Interpol. Jadi proses ini ‘massive’ dan tak mungkin berlaku kalau kita membelakangkan undang-undang. Kita kena ikut undang-undang,” katanya.
Beliau juga berkata, bagi kes pengendalian kanak-kanak yang dilindungi itu, hanya 28 daripada 625 kanak-kanak sedang disemak identitinya, di mana ada di antaranya dikenal pasti sebagai anak tidak sah taraf.
Nnnn
