GISBH: Wakil PKR, Pas pertikai guna SOSMA

KUALA LUMPUR 15 Okt. – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan ahli kumpulan GISB Holdings (GISBH) di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dianggap tidak wajar.

Dua orang ahli Parlimen dari PKR dan Pas membangkitkan perkara itu ketika mengambil bahagian dalam perbahasan pada sesi penerangan menteri mengenai perkembangan dan tindakan berkaitan isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, walaupun kumpulan itu mungkin bersalah kerana membawa fahaman yang menyeleweng daripada agama, namun mereka masih ada hak daripada sudut undang-undang negara.

“Apa justifikasi menggunakan SOSMA? Adakah kesalahan macam ini, (maka) SOSMA boleh digunakan. Maka sampai bila-bila SOSMA tidak akan dikaji balik, tidak akan dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata ini bertentangan dengan konsep reformasi kerajaan Madani yang menegakkan nilai ihsan.

“SOSMA adalah undang-undang berkaitan dengan ancaman kekerasan, keganasan, keselamatan negara. Soalnya adakah penyelewengan ajaran agama (dakwaan) GISBH ini termasuk kesalahan keselamatan?” katanya, meminta penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri.

Beliau yang mendakwa mereka yang ditahan itu dikawal dengan senjata M16, bertanya sama ada mereka ini pengganas seperti di Lahad Datu sebelum ini?

“Jangan terlebih dan melampau, ini Parlimen kita jaga Perlembagaan jangan sampai mereka teraniaya. Sekiranya mereka bersalah, ada hak mereka dari segi undang-undang,” kataya lagi.

Sementara itu Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyifatkan tindakan seumpama itu tidak cermat berikutan kumpulan itu bukan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan elemen keganasan.

“Kami melihat ini satu keputusan (tindakan oleh PDRM) yang tidak cermat. Sebab itu kita nasihatkan supaya jangan berlebihan, jangan keterlaluan, jamin keadilan pihak yang tertuduh. Saya minta pihak kerajaan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Ketua Whip pembangkang itu berkata, jika ada kes mengenai penyelewengan akidah, ambil tindakan di bawah undang-undang berkaitan, kalau melibatkan jenayah, ambil tindakan di bawah kanun jenayah atau yang berkaitan.

“Kalau (disabit salah) di bawah perniagaan, ada undang-undang tertentu yang boleh digunakan.

“Sebagai contoh, Menteri Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Datuk Armizan Mohd. Ali mengatakan bahawa pendaftaran GISBH boleh terbatal jika langgar peraturan. Jika (GISBH) melanggar peraturan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mereka boleh ambil tindakan.

“Ia bukan soal perniagaannya ada di 18 buah negara (sehingga) menyusahkan penyiasatan. Ini tidak susah. Tidak perlu menggunakan Akta SOSMA sama sekali dalam kes ini. Kami melihat ini adalah satu pengurusan yang tidak cermat,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment