Tsunami kes baharu Delta, Omicron

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang varian Delta dan Omicron yang sedang merebak ketika ini mencetuskan ‘tsunami kes baru’ , kata Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Saya berasa sangat bimbang bahawa Omicron, yang senang berjangkit dan menular pada masa yang sama dengan Delta, sedang mencetuskan tsunami kes Covid-19.”, katanya dalam ucapan pembukaan pada sidang media semalam.

Virus ini akan terus berkembang dan mengancam sistem kesihatan kita jika kita tidak memperbaiki tindak balas kolektif.

Beliau mengingatkan Delta dan Omicron kini menjadi ‘ancaman berkembar’ bagi melonjakkan jumlah kes Covid-19 ke rekod tertinggi, sekali gus menyebabkan kenaikan jumlah pesakit yang perlu dirawat di hospital serta kematian.

Justeru beliau mengulangi gesaan supaya  negara-negara di dunia untuk berkongsi vaksin dengan lebih adil lagi dan memberi amaran bahawa dos penggalak di negara lebih maju akan menghindar negara kurang maju untuk mendapatkan suntikan dos secukupnya. 

“Kita bukan sahaja harus berkongsi vaksin dengan lebih pantas dan lebih saksama dengan COVAX dan AVAT, kita mesti menyokong negara dalam pembuatan dan akses kepada rawatan baharu juga mesti diikuti,” katanya.

Katanya, WHO sedang mengadakan kempen untuk setiap negara mencapai sasaran 70 peratus penduduk sudah divaksin menjelang pertengahan 2022, yang akan menghentikan fasa akut pandemik ini. 

Malam Tahun Baru akan datang menandakan tahun kedua China memberi amaran kepada WHO tentang 27 kes “radang paru-paru akibat virus” yang tidak diketahui asalnya di bandar Wuhan. 

Menurut WHO, sebanyak 1.8 juta kematian akibat Covid-19 direkodkan pada tahun 2020, dan 3.5 juta lagi kematian pada tahun 2021 malahan angka sebenar mungkin lebih tinggi.

Menurut Reuters, lebih 281 juta orang merata dunia sudah dilaporkan dijangkiti koronavirus dan lebih lima juta nyawa sudah terkorban.

“Tetapi, saya masih optimis bahawa ini boleh menjadi tahun kita bukan sahaja menamatkan tahap akut pandemik tetapi kita juga melakarkan laluan ke arah keselamatan kesihatan yang lebih kukuh,” kata Tedros.

Related posts

Leave a Comment