DAP cadang pinda Akta Ibukota Persekutuan 1960

KUALA LUMPUR 13 Okt. – DAP mencadangkan Akta Ibukota Persekutuan 1960 dipinda bagi membolehkan Ahli Majlis dilantik sama seperti dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, ketika ini akta yang diguna pakai oleh Kuala Lumpur tidak sama seperti PBT lain dan atas sebab itu, Ahli Majlis tidak boleh dilantik di wilayah berkenaan.

“Semua PBT di seluruh negara adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, tetapi disebabkan Kuala Lumpur adalah sebuah ibu kota jadi akta yang ditadbir adalah Akta Ibukota.

“Jika dibandingkan dengan kandungan kedua-dua akta berkenaan, memang tiada pelantikan jawatan Ahli Majlis seperti termaktub dalam Akta Ibukota.

Adalah sangat penting bagi Kerajaan Madani untuk meminda akta berkenaan supaya Kuala Lumpur akan sama seperti semua PBT di seluruh negara,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Negeri Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai dalam ucapan sempena konvensyen itu berkata, parti itu bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha mencadangkan reformasi dengan melaksanakan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur seperti diamalkan oleh PBT.

Beliau berkata, langkah itu mampu memperkasakan demokrasi tempatan dan membawa sistem pentadbiran Kuala Lumpur ke arah pilihan raya Kerajaan Tempatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengulas cadangan itu berkata ia adalah satu perkara yang baik.

Beliau berkata, ketika ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mempunyai Lembaga Penasihat dan bukannya Ahli Majlis dilantik seperti di PBT yang akan bertanggungjawab dalam setiap keputusan dibuat.

“Kami memahami bahawa sentimen dan realiti politik untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ia pastinya mendapat tentangan daripada banyak pihak.

“Saya rasa sebagai langkah pertama, sistem pelantikan ini boleh digunakan, dan akhirnya matlamat utama kita adalah untuk mengadakan pilihan raya majlis tempatan, sambil mengambil kira beberapa kekangan yang ada ketika ini,” katanya.

Loke berkata, ia satu pendekatan progresif yang boleh dipertimbangkan dan perlu dibawa ke Majlis Pakatan Harapan untuk pertimbangan sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Nnnj

Related posts

Leave a Comment