Penyelarasan cuti libatkan 1.948 juta pekerja

SEPANG 7 Okt. – Lebih 4.1 juta rakyat Johor termasuk 587,343 pelajar dan 1.948 juta pekerja terlibat dalam penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025.

Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri bersama Mufti Negeri dan agensi terbabit akan memperincikan waktu kerja yang sesuai terutamanya pada Jumaat bagi memberi ruang dan masa mencukupi untuk umat Islam solat Jumaat.

“Insya-Allah, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat, penyelarasan ini juga akan mengurangkan masalah penjadualan dalam kalangan sektor awam dan sektor swasta.

“Selain itu, ia memberi ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama dan membantu memudahkan aktiviti rentas sempadan serta aktiviti perniagaan. Insya-Allah. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya melalui Facebooknya

Onn Hafiz menjunjung kasih atas perkenan dan restu Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung penukaran cuti hujung minggu di Johor.

“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas pengumuman penukaran cuti hujung minggu dan menitahkan agar patik dan Mufti Johor mengadakan perbincangan dan meneliti penyelarasan semula cuti hujung minggu ini dari setiap sudut dan aspek,” katanya.

Onn Hafiz berkata, titah perbincangan penyelarasan perubahan cuti hujung minggu ini akan menitikberatkan dan meliputi seluruh aspek termasuk agama Islam tanpa mengetepikan penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari.

Nnn

Related posts

Leave a Comment