Tiada tolak ansur acara tidak senonoh

JOHOR BAHRU 6 Okt. – Johor menegaskan negeri ini tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular membabitkan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Bandar Penawar, Kota Tinggi, kelmarin.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah, tindakan sudah diambil terhadap pihak yang terbabit,

“Tindakan sudah diambil dan pelakunya sudah ditahan. Tiada toleransi di Johor,” titah baginda melalui aplikasi X HRH Crown Prince of Johor hari ini susulan tular program itu di media sosial.

Terdahulu, malam tadi, Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi menegaskan program larian yang didakwa disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya songsang lesbian, gay, biseksual serta transgender (LGBT) bukan anjuran kerajaan negeri.

Onn Hafiz menegaskan, pihaknya juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran kepada mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di negeri ini.

Katanya, setelah berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur, objektif penganjuran acara berkenaan bukanlah seperti dinyatakan dan kejadian berlaku itu di luar kawalan pihak penganjur.

“(Bagaimanapun) kerajaan negeri memandang serius isu ini dan sudah meminta siasatan lanjut dijalankan pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi mana-mana pihak yang menganjurkan acara mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan kedaulatan Islam serta menjatuhkan imej Johor secara keseluruhan.

Sementara itu, pihak pengurusan Lotus Desaru Beach Resort & Spa memaklumkan pembabitan pihak Lotus Desaru dalam acara Pan-Asian Hash 2024 yang diadakan di resort itu terhad kepada penyediaan penginapan dan perkhidmatan makanan untuk peserta.

Lotus Desaru dalam satu kenyataan menjelaskan, Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 itu satu acara amal disertai lebih 2,000 peserta dari 42 negara.

Menurut Lotus Desaru, program dianjurkan kumpulan Pan-Asian Hash itu untuk memupuk pembabitan komuniti dan meraikan semangat persahabatan antarabangsa.

“Kami ingin menegaskan penglibatan Lotus Desaru adalah terhad kepada penyediaan penginapan dan perkhidmatan makanan untuk peserta. Semua aktiviti dan program lain diuruskan sepenuhnya oleh kumpulan Pan-Asian Hash.

“Kami memahami beberapa aspek acara ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti,” katanya.

Menurut Lotus Desaru, sebagai penyedia perkhidmatan hospitaliti, fokus utama pihak hotel adalah untuk memberikan pengalaman berkualiti kepada tetamu.

Katanya, pihak hotel tidak terbabit dalam perancangan atau pelaksanaan sebarang aktiviti yang tidak berkaitan dengan hospitaliti.

Related posts

Leave a Comment