GENEVA – Jika suatu masa dulu, mereka lari meninggalkan Syria akibat perang saudara, kini mereka kembali semula ke negara asal selepas Israel menyerang Lubnan sejak beberapa hari lalu.
Ini termasuk seorang wanita yang tiba di sempadan bersama mayat dua anaknya yang ingin dikebumikan di tanah air mereka di Syria selepas kedua-duanya terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan.
Kisah menyayat hati itu dikongsikan oleh wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Syria Gonzalo Vargas Llosa pada satu sidang media.
Katanya, disebabkan takut ditangkap dan dikenakan kerahan tenaga, atau menjadi mangsa keganasan yang berterusan jika mereka pulang ke negara asal, ramai rakyat Syria telah lama memilih untuk kekal di Lubnan.
Namun, permusuhan yang semakin meningkat antara Israel dan Hezbollah menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan lagi selain kembali ke tanah air.
UNHCR melaporkan, kira-kira 60 peratus daripada mereka yang menyeberangi sempadan di Homs, kawasan luar bandar Damsyik dan wilayah pesisir pantai Tartous adalah rakyat Syria yang melarikan diri ke Lubnan selepas perang saudara bermula 2011.
Media melaporkan, lebih 200,000 orang melarikan diri merentasi sempadan ke Syria, susulan serangan udara dan darat Israel di Lubnan.
Sebelum ini sejak beberapa tahun lalu, 1.5 juta pelarian Syria membanjiri sempadan ke Lubnan untuk melarikan diri dari keganasan perang saudara.
Kini, giliran Syria menjadi tuan rumah kepada penduduk yang terdesak mencari perlindungan dari peperangan dan keruntuhan ekonomi akibat serangan Israel.
Kedua-dua kerajaan Syria dan Pertubuhan Masyarakat Sivil kini mengetuai usaha bantuan, tetapi selepas 13 tahun perang saudara, Syria tidak mempunyai kelengkapan untuk menyokong ribuan orang yang dipindahkan dari Lubnan.
Walaupun Syria adalah sekutu Hezbollah semasa perang 2006 dengan Israel, lebih sedekad pertempuran dan malapetaka ekonomi menyebabkan negara itu menjadi sangat miskin.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grand menerusi X, menyiarkan rayuan PBB untuk mendapatkan dana AS$83 juta (RM349.96 juta) bagi memenuhi keperluan segera penduduk Lubnan yang dipindahkan, termasuk mereka yang melintasi sempadan Syria.
Nnn
