KUALA LUMPUR 2 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan dalam tiga denominasi iaitu emas, perak sterling dan Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim pada 20 Julai lalu.
Menurut kenyataan BNM, duit syiling emas diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan seberat lapan gram sekeping. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 yang akan dijual pada harga RM3,250 sekeping.
Duit syiling perak sterling pula diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 seberat 31 gram sekeping dengan nilai muka ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping.
Sementara itu, duit syiling emas Nordic B.U pula diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain seberat 8.5 gram sekeping dengan nilai muka duit syiling ini RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping.
Duit syiling peringatan ini juga dijual set dua dalam satu mengandungi sekeping duit syiling perak sterling dan sekeping duit syiling emas Nordic. Harga jualan setiap set ialah RM330 dengan sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian.
Tulisan ‘Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII’ tertera pada sekeliling bahagian atas duit itu, manakala nama BNM sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan dipaparkan pada sekeliling bahagian bawah duit syiling.
BNM berkata, bagi memberi peluang saksama kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, sekeping duit syiling emas, sekeping duit syiling perak sterling dan tidak lebih lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).
Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai pukul 11 pagi ini hingga pukul 11 malam 13 Oktober ini.
Nnn
