Mahathir anggap ‘keamanan tanah perkuburan’

SEPANG 2 Okt.  – Kestabilan dan keamanan negara dapat dicapai sekarang ini kerana rakyatnya dinasihat supaya tidak bercakap termasuk 3R (raja,magama, kaum), kata bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya rakyat tidak mengganggu keamanan dan kestabilan negara adalah nasihat yang baik.

“Tetapi kestabilan negara adalah kerana rakyat tidak dibenarkan bersuara, tidak boleh bercakap tentang 3R, tidak boleh berkata apa-apa menentang Kerajaan. Walaupun anda menderita akibat penindasan kerajaan, anda tidak boleh mengadu.

“Kini ahli Parlimen pembangkang didesak menandatangani MoU di mana anda berjanji untuk tidak membuat ucapan kebencian. Jika anda tandatangan, maka Kerajaan akan memberikan dana yang layak diterima ahli Parlimen.

Kecuali Kerajaan yang menentukan sama ada ucapan anda bersifat kebencian atau tidak,” katanya dalam kenyataan melalui Facebooknya.

Katanya, Ahli Parlimen mungkin mengatakan sesuatu yang tidak berbahaya, tetapi Kerajaan boleh menganggapnya sebagai ucapan kebencian dan akan dihukum, mungkin melalui penggantungan daripada Parlimen.

“Jadi, selepas menandatangani MoU, anda tidak boleh berkata apa-apa kecuali memuji Kerajaan, keistimewaan untuk bersuara bebas dalam Parlimen oleh ahli tidak lagi bebas.

Bahkan sekarang, Speaker boleh menggantung ahli selama enam bulan kerana beliau bertegas bahawa seorang penyokong Israel mendapat bahagian besar dalam MAHB. Mulut wakil kita di Parlimen kini ditutup,” kata Dr Mahathir.

Beliau mendakwa, jika ada yang terus bersuara dan mengkritik, Menteri Komunikasi secara halus menjanjikan untuk menghantar kereta peronda polis ke rumah.

“Jika anda mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, mungkin sesuatu akan berlaku kepada anda secara kebetulan, mungkin didapati  melakukan jenayah,  didakwa di bawah SOSMA.

Jika dadah terlibat, tiada jaminan dan kemungkinan hukuman mati. Atau anak-anak anda mungkin diminta untuk mengisytiharkan aset mereka selama 100 tahun yang lepas. Gagal melakukannya mungkin bermakna penjara dan rotan,” katanya.

Sebaliknya, kata Dr Mahathir, jika anda sedang dibicarakan atas pelanggaran undang-undang, demi kestabilan negara, tuduhan mungkin digugurkan dan mungkin dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Dr Mahathir juga mendakwa, siasatan terhadap anda akan dihentikan jika menyokong Perdana Menteri.

“Siasatan juga digugurkan jika anda dipukul di muka atau disiram asid separuh badan jika ia dilakukan atas arahan mereka yang berada di atas undang-undang.

Jadi, anda faham mengapa negara ini stabil dan aman.

Ini adalah keamanan tanah perkuburan. Tetapi media sosial bising. Ia harus dihalalkan untuk media sosial dilesenkan supaya mereka kurang bising. Maka keamanan dan kestabilan akan menjadi lebih besar, seperti di Korea Utara.

Media asing adalah gangguan. Mereka harus disaman. Panggil mereka untuk disoal siasat. Dan tidak melakukan apa-apa. Terutamanya apabila mereka melaporkan kebenaran yang mana media tempatan tidak dibenarkan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment