“Kerana dua sudu nila cemar susu sebelanga”

KUALA LUMPUR 3 Dis. – “Cemar susu sebelanga kerana  dua sudu nila” kata veteran  politik, Rafidah Aziz yang menyentuh dua perkara yang menimbulkan persoalan utama berhubung pasukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Dua perkara itu adalah pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang masih menanti keputusan perbicaraan kes berkaitan rasuah yang sangat panjang dan pelantikan empat senator,  tiga daripada mereka kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam surat terbuka kepada Perdana Menteri Ke-10 melalui media sosialnya, Rafidah berkata, dengan dua perkara itu, mereka tidak seharusnya dipertimbangkan untuk dilantik dalam barisan kepemimpinan kerajaan kerana ia boleh menjejaskan Jemaah Menteri keseluruhannya.

“Kenapa perlu dilantik … sebagai TPM? Tidak perlu. Ya, ada yang kata seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, tetapi jika orang itu akhirnya didapati bersalah, maka anda perlu menggantikan TPM dengan yang lain.

“Kenapa perlu ‘ditekan sangat’ untuk melantik sekarang? Kita sudah ada satu TPM di situ,” katanya merujuk dua TPM, iaitu Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Fadilah Yusof.

Ahmad Zahid sebelum ini berdepan 87 pertuduhan rasuah, tetapi telah dibebaskan 40 daripada tuduhan itu pada September lalu.

Rafidah turut mempersoalkan kredibiliti mereka yang kalah pada PRU15 tetapi dilantik menjadi menteri melalui pelantikan sebagai senator.

“Siapa yang kalah dalam PRU ditolak oleh pengundi dan sekarang, lantik semula orang itu sebagai senator untuk dijadikan menteri. Di mana kredibiliti apabila kalah diletakkan semula dalam kepemimpinan? Ada yang lain mungkin lebih sesuai untuk dilantik. Cemar susu sebelanga kerana dua titik nila,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada tiga calon PRU15 yang tewas dan hari ini  mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara  untuk menganggotai barisan Jemaah Menteri.

Mereka adalah Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Kuala Selangor) dan Dr Zambry Abdul Kadir (Lumut).

Rafidah bagaimanapun tetap mengucapkan selamat maju jaya kepada Anwar dan barisan kepemimpinan yang dilantiknya sambil berharap mereka dapat memimpin negara dengan baik.

“Tahniah atas pembentukan Kabinet baharu anda. Ia pasti memberikan banyak tekanan dan bebanan untuk memastikan ‘tindakan mengimbangi’ untuk menghasilkan Kabinet yang boleh diterima dan boleh dipercayai,” katanya.

Beliau percaya rakyat akan turut sama mendoakan kejayaan Anwar sebagai pemimpin kerajaan hari ini.

Melihat barisan lama dan muka baharu dalam Kabinet sebagai gabungan yang seimbang bagi menjayakan Kerajaan Perpaduan, Rafidah turut menasihatkan mereka mendahulukan rakyat dan negara, berkhidmat tanpa ragu dan pilih kasih.

Mereka juga perlu mengelak mengutamakan kepentingan peribadi, menjadikan integriti dan kejujuran sebagai keutamaan, mengambil sikap bertanggungjawab dan mengutamakan akauntabiliti, prestasi, kredibiliti serta kompetensi.

Related posts

Leave a Comment