Qobin lepaskan jawatan Exco Pemuda

KUALA LUMPUR 28 Jan. –  Exco Pergerakan Pemuda UMNO,  Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mengumumkan beliau melepaskan jawatan berkenaan serentak dengan jawatan Ketua Pemuda Lembah Pantai berkuat kuasa serta merta.

“Saya lepaskan jawatan sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai serta merta. Terima kasih buat semua sahabat. Kita tetap bersahabat dulu kini selamanya.,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Qobin berkata surat peletakan jawatan akan diserahkan dalam tempoh terdekat.

Dalam kenyataannya, beliau tidak menyatakan punca keputusan tersebut dibuat,tetapi kecewa dengan perkembangan terbaharu dalam UMNO yang didakwanya tidak lagi mengamalkan demokrasi.

Beliau dipercayai merujuk keputusan diumumkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang memecat keahlian Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT, Noh Omar.

Begitu juga dengan penggantungan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Tun Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan.

Untuk rekod, Qobin adalah antara yang lantang mendesak Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan berikutan kekalahan teruk UMNO pada pilihan raya umum lalu.

Beliau juga mendesak supaya jawatan Presiden dan juga Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan.

Bagaimanapun, Perhimpunan Agung UMNO yang lalu merupakan yang terakhir beliau sebagai mewakili Pemuda.

(Foto FB bersama Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajidi Dusuki)

Related posts

Leave a Comment