Semak daftar pemilih bagi Ogos

PUTRAJAYA 29 Sept. – Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2024 (DPT BLN8/2024) boleh dibuat sehingga 22 Oktober depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata DPT BLN8/2024 yang diperaku dan diwartakan itu mengandungi 41,498 pemilih baharu iaitu warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2024 yang didaftarkan secara automatik.

Jumlah pemilih baharu itu menunjukkan peningkatan berbanding dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Julai 2024 yang merekodkan 38,952 pemilih baharu.

Mengikut rekod, pemilih baharu yang didaftar secara automatik pada bulan Jun adalah 37,242 manakala 39,019  (Mei) ; 36,598 (April) ; 38,729 (Mac) ; 33,983 (Februari) dan 36,978 (Januari).

Selain itu, DPT BLN8/2024 juga mengandungi 7,130 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,551 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status boleh menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2024.

Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Selain itu, Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN8/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN8/2024.

Related posts

Leave a Comment