Sultan dukacita pihak enggan vaksin

SHAH ALAM 3 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat Selangor, tidak terkecuali guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), jurunikah dan pegawai masjid mendapatkan segera suntikan vaksin Covid-19.

Baginda amat dukacita dengan golongan yang memilih enggan divaksin kerana mereka akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Justeru baginda mengingatkan guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin Covid-19 berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin dimaklumkan di Selangor terdapat 326 guru Kafa belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, manakala 95 lagi enggan, 59 pegawai masjid belum mendapat suntikan dengan 11 enggan berbuat demikian serta sembilan jurunikah belum divaksin dan enam enggan menerima suntikan.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office semalam, Sultan Sharafuddin bimbang jika masih ada guru-guru Kafa yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui jika seseorang itu dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin yang diterima akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk

“Malah, Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga sudah menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru Kafa, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di negeri itu.

“Beta berharap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin juga difahamkan terdapat 268 guru sekolah rendah dan 182 guru sekolah menengah di Selangor juga enggan divaksin.

“Tindakan itu boleh membahayakan pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib.

“Sukacita Beta mengingatkan bahawa pakar perubatan mengesahkan vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan negeri Selangor mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

Justeru rakyat tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Related posts

Leave a Comment